Tony Pua dedah teknik asal PH untuk mansuh tol secara berperingkat

Tony Pua dedah teknik asal PH untuk mansuh tol secara berperingkat

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menggesa kerajaan Perikatan Nasional memulakan semula rancangan mengambil alih konsesi lebuh raya dalam bandar yang dibatalkan tahun lalu, sekali gus menegaskan langkah itu dijangka menguntungkan kerajaan dan pengguna jalan raya.

Gesaan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof bahawa kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol sepanjang tahun 2021 selepas mengambil kira kesan penularan wabak Covid-19 ke atas kehidupan rakyat.

Keputusan penangguhan itu melibatkan tiga lebuh raya yang sepatutnya mendapat kenaikan kadar tol mulai 1 Januari 2021, iaitu Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Pua yang juga setiausaha publisiti DAP berkata, susulan penangguhan berkenaan anggaran pampasan yang perlu ditanggung oleh kerajaan ialah sebanyak RM2.25 bilion.

Ahli Parlimen Damansara Tony Pua.
“Dana yang sangat diperlukan itu mungkin boleh digunakan dalam aspek perbelanjaan asas kerajaan, terutamanya sejak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri mengakui kerajaan kini kekurangan wang.

“Kerajaan PN mampu menyelamatkan sekurang-kurangnya beberapa ratus juta ringgit pampasan yang harus dibayar sekiranya meneruskan cadangan pengambil alihan lebuh raya yang dimiliki oleh Gamuda seperti yang diumumkan menteri kewangan (Lim Guan Eng) dalam Belanjawan 2020,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sebagai bekas jurubank pelaburan, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Aziz, mesti memberi “tunjuk ajar” kepada rakan Kabinetnya, termasuk Fadillah dan juga perdana menteri mengenai dasar yang “masuk akal dari segi kewangan”.

Dalam cadangan pengambilalihan yang dikemukakan ketika era pentadbiran PH Pua berkata, kerajaan akan mengambil alih lebuh raya berkenaan dengan harga RM6.2 bilion, namun tidak perlu membayar satu sen kerana ia akan dibiayai melalui kutipan tol yang ada.

“Justeru kerajaan tidak perlu lagi membayar pampasan kepada pihak konsesi pada masa depan untuk ‘membekukan’ kenaikan kadar tol.

“Sepanjang keseluruhan tempoh konsesi lebuh raya berkenaan, kerajaan akan jimat lebih RM5.3 bilion dan dana ini dapat dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat atau untuk projek infrastruktur baharu, bukannya dibayar kepada pemegang konsesi lebuh raya.”

Beliau berkata, tindakan PN jelas menunjukkan bahawa ia “tidak memiliki” ilmu kewangan dan tidak mampu melaksanakan dasar demi kepentingan rakyat, seperti pemerintah Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

“Mereka nampaknya hanya memahami langkah membayar sejumlah pampasan yang tidak masuk akal kepada syarikat konsesi tol di bawah kontrak lebuh raya.”

Pada 2018, kerajaan PH ketika itu mengumumkan ia akan mengambil alih Kesas, SPRINT, Litrak serta SMART dengan kos RM6.2 bilion.

Bagaimanapun pada Jun 2020, kerajaan PN berkata, ia mempertimbang untuk membatalkan cadangan mengambil alih empat lebuh raya dalam bandar yang dimiliki oleh Gamuda itu.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/03/mula-segera-rundingan-semula-ambil-alih-konsesi-lebuh-raya-gesa-tony-pua/