Negara Venezuela adalah sebuah negara merdeka yang berjaya bebas dari penjajahan melalui revolusi rakyat. Negara ini kemudian berkembang maju hasil industri minyak sehingga menarik jutaan pekerja-pekerja dari negara jiran datang mencari rezeki.
Sekatan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya telah menyebabkan berlakunya krisis ekonomi di negara itu menyebabkan berjuta pekerja asing pulang ke negara masing-masing dan sebilangan kecil rakyatnya berhijrah meninggalkan Venezuela.
Beberapa pilihan raya telah diadakan di peringkat parlimen memperlihatkan penurunan sokongan terhadap parti yang didokong Nicolas Maduro. bagaimanapun pada pilihan raya presiden yang lalu Maduro mencapai kemenangan dengan begitu besar dan keadaan ini tidak disenangi oleh Amerika Syarikat. Mereka tidak mengiktiraf Maduro sebagai presiden Venezuela yang sah malah telah melantik Ketua Pembangkang, Juan Guaido sebagai presiden.
Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak perbuatan jijik dan campur tangan negara-negara asing khususnya Amerika Syarikat dan sekutunya dalam menentukan kepimpinan Venezuela. AMANAH berpandangan, biarlah rakyat Venezuela menentukan nasib masa depan dan kerajaan mereka tanpa sebarang campur tangan asing. Ia penting bagi menamatkan krisis kemanusiaan ini yang memberikan kesan buruk kepada seluruh rakyat negara itu.
MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara