Tok Mat bidas parti yang kutip bekas pemimpin PKR

Mohamad Hasan berkata pesaing parti itu tidak perlu mengajar Umno soal perpaduan ummah, sekiranya mereka hanya memancing dan mengutip ahli politik yang meninggalkan Umno dan perjuangan Melayu-Islam bawaannya sejak sekian lama.

Timbalan Presiden Umno itu berkata ini termasuklah individu atau pemimpin yang selama ini tidak henti-henti menghina dan merendahkan orang Melayu.

Beliau berkata, kelompok inilah yang sebenarnya anti-perpaduan.

“Mereka tidak pernah memperjuangkan sebarang usaha perpaduan. Sehinggalah apabila nyawa mereka seperti telur di hujung tanduk, kelangsungan parti mereka menjadi begitu getir, baharulah mereka mula tergagap-gagap bercakap tentang perpaduan bangsa,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam ucapan merasmikan persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020), di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.

PAU 2020 menjadi tumpuan kerana Umno dikatakan akan menentukan nasib kerjasamanya dengan PPBM. Pada kedudukan sekarang, Umno akan menyokong pentadbiran pimpinan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, sehingga Parlimen dibubarkan untuk PRU15.

Kerajaan Perikatan Nasional dipimpin PPBM dengan penyertaan timbalan presiden PKR, Mohamad Azmin Ali, dan kumpulannya.

“Lebih menjelikkan, bila mereka yang meninggalkan PKR turut tidak malu bercakap berkenaan perpaduan ummah.

“Sedangkan selama berpuluh-puluh tahun, perjuangan mereka tidak pernah sekali pun menjurus kepada kebaikan orang Melayu, apatah lagi perpaduan ummah.”

Ummah

Mohamad menarik perhatian kepada istilah “perpaduan ummah” yang tular mutakhir ini kerana banyak pihak mahu bercakap mengenainya, seolah-olah Melayu-Islam berpecah-belah sehingga ke tahap parah.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju konsep perpaduan Melayu ditafsirkan dalam konteks politik semata-mata, mengingatkan perpaduan ummah sebenar bukan sekadar parti Melayu bersama dalam perikatan politik.

“Tafsiran sebegini sangat cetek. Ini kerana, jumlah orang Melayu yang diwakili oleh kedua-dua parti besar Melayu sebenarnya hanyalah dalam lingkungan 4 juta sahaja,” katanya.

“Seruan kepada perpaduan ummah mestilah dibaca dalam konteks yang lebih besar. Ia mesti benar-benar bertujuan menyatukan semua orang Melayu. Merentas ideologi politik, merentas kepentingan kuasa dan merentas status sosial.”

“Ia mesti menjangkaui laba politik dan tidak menjadi sekadar strategi untuk menang dalam pilihanraya. Sedangkan nasib dan masa depan ummah belum tentu akan dipedulikan selepas itu.”

Mohamad memberi peringatan kepada pesaingnya bahawa Umno tidak akan terpedaya dengan retorik “kepentingan ummah” dan “perpaduan Melayu” yang dibuat-buat.

Beliau menegaskan perpaduan ummah dan penyatuan Melayu mesti dipimpin Umno.

“Yang akan Umno usahakan adalah, perpaduan seluruh bangsa Melayu. Yang berpolitik atau tidak, yang berparti atau tidak dan yang dalam kerajaan mahupun pembangkang. Semuanya akan kita pandang dan kita undang. Rukunnya hanya satu, iaitu Melayu!”

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/27/jangan-ajar-umno-soal-perpaduan-jika-kutip-yang-tinggal-perjuangan-bangsa-kata-tok-mat/