TMJ pesan masyarakat jangan guna perkhidmatan atau produk tidak berlesen

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mengingatkan masyarakat agar tidak terpengaruh untuk menggunakan perkhidmatan spa atau produk kecantikan tidak berlesen demi keselamatan dan kesihatan mereka sendiri.

Menerusi catatan baginda dalam laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, Tunku Ismail menasihati  orang ramai agar berhenti membeli produk-produk berkenaan dan sebaliknya berbangga dengan kecantikan yang dimiliki secara semula jadi walau apapun warna kulit.

Pada 9 Nov tahun lepas, Tunku Ismail pernah berkongsi mengenai produk pemutihan kulit dan obsesi orang ramai terhadap penggunaan produk-produk tersebut.

Selain itu, baginda bertitah pernah membaca berita mengenai wajah seorang wanita yang melecur tahap tiga kerana menggunakan perkhidmatan ‘mobile spa’.

“Sekarang, saya dapati perkhidmatan spa tanpa lesen semakin berleluasa kerana orang ramai semakin obses dengan kecantikan paras muka. Tidak salah jika kita mahu menjaga rupa dan kecantikan tetapi ingat bahawa keselamatan dan kesihatan adalah lebih penting,” titah Tunku Ismail dalam catatan itu.

Tunku Mahkota Johor itu turut menyatakan rasa kecewa kerana terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan membelakangkan keselamatan serta kesihatan orang ramai.

“Saya telah menyatakan pendirian saya sebelum ini dan saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa janganlah sekali-kali menggunakan perkhidmatan atau produk yang tidak berlesen demi keselamatan dan kesihatan anda.

“Elakkan daripada menjadi mangsa. Sayangi diri anda sebab anda sememangnya cantik dan tampan,” titah baginda.