Selaras dengan usaha Kerajaan Malaysia hari ini untuk meningkatkan kompetensi Hakim-Hakim Syarie, sejumlah 33 orang Hakim Syarie dari seluruh negara telah berlepas ke Arab Saudi hari ini untuk mengikuti Kursus Intensif Hakim-Hakim Syarie di Ma’ahad Al-Aliy Lil Qadha’, Universiti Imam Muhammad Sa’ud, Arab Saudi.
Kursus intensif bagi meningkatkan kemahiran dan kompetensi Hakim-Hakim Syarie itu akan berlangsung selama satu bulan bermula 15 februari hingga 15 Mac 2019.
Sejumlah 33 orang Hakim-Hakim Syarie yang mengikuti kursus intensif itu merangkumi Hakim-hakim Syarie dari Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia (JKSM) seramai 9 orang, negeri Kelantan seramai 11 orang, negeri Kedah, Penang, Melaka, Selangor, Sabah, Sarawak, Perak, Terengganu dan Perlis masing-masing seorang, Wilayah Persekutuan pula 4 orang dan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) seorang.
Kursus intensif ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Arab Saudi atas hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof ketika dihubungi berkata beliau berharap Hakim-Hakim Syarie yang mengikuti kursus ini akan memanfaatkan peluang mereka ini untuk menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka untuk mengendalikan dan memutuskan kes-kes di Mahkamah Syariah. Dengan itu rakyat akan mendapat manfaat keadilan Islam selaras dengan dasar Rahmatan Lil Alamin yang dibawa kerajaan sekarang ini.