Tindakan tegas sebaran media sosial melanggar undang-undang

Sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas menangani budaya fitnah dan mereka-reka cerita tidak berasas dengan lebih serius,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Ia seiring dengan titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertitah:

“Penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh mengancam nilai-nilai murni berdasarkan agama dan prinsip moral masyarakat.

“Sungguhpun kerajaan Beta meraikan keterbukaan dan kebebasan bersuara, adalah penting kebebasan ini dipraktikkan dalam lingkungan undang-undang dan norma masyarakat.

“Pada masa yang sama agensi-agensi penguatkuasa hendaklah bertindak tegas ke atas sebaran media sosial yang melanggar undang-undang,” titah baginda sempena Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen ke-14.

Justeru, Mujahid dalam entri Facebooknya hari ini berkata, tidak salah untuk menegur dan mengkritik kerajaan kerana kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) hari ini mengamalkan konsep mendengar teguran, saranan serta kritikan.

Namun pengguna media sosial dinasihatkan supaya tidak mengguna ruang kebebasan tersebut untuk menyuburkan (menyebarkan) fitnah dan cerita-cerita rekaan untuk menakutkan rakyat terhadap kerajaan.

“Penyebaran berita-berita tidak benar dan berunsur fitnah dengan tujuan menyemai kebencian kepada kerajaan tidak akan membantu proses pemulihan yang sedang giat diusahakan sekarang.

“Tapis dan selidik setiap berita yang kita terima kerana ada pihak yang mahu meraih laba dari permainan yang cukup tidak bermaruah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian yang juga menegaskan kerajaan sedang dalam usaha memberi fokus untuk mengurangkan beban kos hidup rakyat.

Berita Asal : https://malaysiadateline.com/tindakan-tegas-sebaran-media-sosial-melanggar-undang-undang-kata-mujahid/