Tindakan sewajarnya jika terbukti ladang Malaysia terlibat pembakaran terbuka di Indonesia

cecd26e446fe012b99963556418772b95c0de4166a792.png
Kerajaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap ladang-ladang kepunyaan Malaysia yang terlibat dalam aktiviti pembakaran terbuka di Indonesia jika terbukti ia benar-benar berlaku, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pihaknya masih menunggu hasil siasatan berhubung perkara itu.

“Kami masih menunggu siasatan dan kemungkinan ada tindakan oleh negara jiran dan dari kerajaan sendiri jika benar syarikat itu terlibat.

“Setakat ini, tidak ada mana-mana lagi syarikat secara tuntas dilaporkan terlibat dalam aktiviti pembakaran terbuka,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang meminta kementerian berkenaan menyatakan sejauh mana Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang ditubuhkan oleh Malaysia dan Indonesia memainkan peranannya bagi mengatasi aktiviti pembukaan tanah ladang menerusi pembakaran terbuka oleh syarikat pemain industri sawit yang telah menyebabkan jerebu rentas sempadan saban tahun.

Shamsul Iskandar berkata melalui CPOPC, Malaysia dan Indonesia telah memberikan komitmen untuk memastikan pengeluaran minyak sawit dan produk-produk berasaskan sawit dilaksanakan secara mampan.

Amalan penanaman lestari ini adalah menepati standard pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan pensijilan Minyak Sawit Mampan Indonesia (ISPO) termasuk menghalang pembakaran secara terbuka, katanya.

Beliau berkata usaha berterusan itu juga akan diperhalusi dalam ‘Palm Oil Supply and Demand Outlook Conference (POSDOC)’ yang dianjurkan oleh CPOPC pada 22 Okt ini di Bandar Baru Bangi yang akan dihadiri penggiat industri sawit dari Malaysia dan Indonesia.

Persidangan itu akan membincangkan tiga aspek utama berkaitan industri swait iaitu pengeluaran, permintaan pasaran dan unjuran harga termasuk isu alam sekitar yang merentasi sempadan, katanya.

BERNAMA