Timb Menteri minta tiada double standard dalam tangkapan langgar SOP

Tidak boleh ada tindakan dua darjat ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan wabak Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali.

Menurut Noor Azmi tidak ada sesiapa yang terlepas daripada tindakan jika terbukti mereka melanggar undang-undang ditetapkan kerajaan.

“Dalam isu ini tidak ada dua darjat.

“Tidak ada yang atas terlepas, orang bawah terkena; tidak ada orang di atas tak kena tangkap, orang bawah kena gari… tak boleh macam itu,” katanya seperti dipetik portal Sinar Harian hari ini.

Noor Azmi berkata demikian sebagai mengulas kemunculan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali, di Dewan Rakyat hanya kira-kira seminggu selepas pulang dari Turki.

Mengikut peraturan yang dikuatkuasakan, seseorang yang baru tiba dari luar negara perlu menjalani kuarantin selama 14 hari. Pada tarikh kepulangan Khairuddin, kerajaan masih membenarkan kuarantin kendiri.

Bagaimanapun selepas beberapa kes ingkar arahan itu dikesan, kerajaan mengenakan kuarantin wajib di pusat yang ditetapkan.

Untuk rekod seorang wanita warga emas dihukum penjara sehari dan denda RM8,000 kerana gagal menjalani kuarantin kendiri.

Khairuddin yang juga salah seorang ulama terkenal PAS setakat ini engga mengulas mengenai keingkaran tersebut dan meminta orang ramai menunggu kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sehingga semalam, Facebook Khairuddin turut dikemas kini dengan pelbagai aktivitinya bertemu orang ramai sebelum ia dipadamkan kemudian.

Khairuddin didakwa berada di Turki dari 3 hingga 7 Julai dan hadir di Dewan Rakyat pada 13 Julai.

Noor Azmi berkata kerajaan juga akan menjalankan siasatan secara telus dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas sesiapa saja yang terlibat, termasuk dalam kalangan menteri.

Merujuk kepada dirinya sendiri, Noor Azmi berkata dia juga didapati melanggar arahan Perintak Kawalan Pergerakan sebelum ini dan didenda.

“Siapa-siapa yang langgar SOP, dia akan diadili, tindakan akan diambil.

“Saya pun kena bayar RM1,000. Saya rasa kerajaan kena telus buat siasatan, ambil tindakan yang perlu. Sesiapa pun tidak akan terlepas,” katanya yang pernah didenda bersama Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Sementara itu Pemuda PKR (AMK) turut mengutuk tindakan Khairuddin tidak melakukan kuarantin seperti yang sepatutnya dan menyifatkan menteri itu mengabaikan kepentingan kesihatan orang ramai.

Ketua Biro Perundangan AMK Chiew Choon Man turut menggesa anggota parlimen Kuala Nerus itu membuat permohonan maaf secara terbuka dan meletakkan jawatannya sebagai menteri serta-merta.

“Menteri (Khairuddin) sepatutnya mencontohi Menteri Kesihatan New Zealand dan Timbalan Menteri Ghana yang meletak jawatan selepas menerima kecaman susulan tindakannya yang melanggar perintah kuarantin.

“Perdana menteri juga boleh mengambil tindakan memecat Khairuddin untuk menunjukkan tekad beliau dan kerajaan dalam usaha menentang wabak Covid-19,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/539509

COMMENTS

Wordpress (0)