Timb Menteri Komunikasi gagal, rujuk segera kepada JK Hak dan Kebebasan Dewan Negara

Timb Menteri Komunikasi gagal, rujuk segera kepada JK Hak dan Kebebasan Dewan Negara

Dalam persidangan hari kedua di Dewan Negara pada 3 September 2020, iaitu ketika menjawab Soalan Jawab Lisan, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Datuk Zahidi bin Zainul Abidin secara jelas telah memberi jawapan tidak benar kepada Dewan yang Mulia.

Datuk Zahidi gagal fokus untuk memberikan jawapan bagi soalan yang meminta beliau menyenaraikan kawasan-kawasan di Sabah dan negeri-negeri lain yang akan menerima manfaat melalui program merapatkan jurang digital kerajaan menjelang akhir tahun ini.

Sebaliknya, Datuk Zahidi memberi tumpuan mengulas contoh yang telah diberikan oleh YB Senator Datuk Donald Peter Mojuntin iaitu darihal kesusahan seorang pelajar di pedalaman Sabah (Veveonah) dalam mendapatkan capaian internet semasa tempoh PKP Covid-19 berjalan bagi memberi gambaran betapa capaian internet di Malaysia masih berada pada tahap yang tidak memuaskan.

Dalam jawapannya di Dewan Negara pada hari Khamis yang lepas, 3 September 2020 itu, Datuk Zahidi telah menuduh Vevenoah Mosibin sebagai menipu apabila Vevenoah mengatakan yang beliau terpaksa berada di atas pokok selama 24 jam untuk mendapat sambungan internet bagi menduduki peperiksaan.

Beberapa jam selepas berita berkaitan jawapan YBTM Datuk Zahidi itu dimuatnaik ke internet, ia telah mendapat reaksi marah daripada kawan-kawan dan warganet yang mengenali Veveonah. Datuk Zahidi dan Dewan Negara juga telah didesak segera membetulkan fakta dan meminta maaf.

Melalui satu coretannya di dalam “facebook”, Datuk Zahidi dilihat telahpun mengemukan permohonan maaf dan beliau berjanji akan membetulkan fakta tersebut di Dewan yang Mulia pada hari Isnin, 7 September. Malangnya beliau gagal menunaikannya.

Posting Datuk Zahidi
https://www.facebook.com/103521971276002/posts/177056630589202/

Berita permohonan maaf dan berjanji akan betulkan fakta
https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2020/09/03/dakwa-veveonah-tak-ambil-peperiksaan-video-panjat-pokok-hanya-sekadar-039content039-youtube-timbalan-menteri-mohon-maaf

Untuk rekod, pada 4 September 2020, saudari Veveonah telah menafikan kenyataan palsu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dan telah menunjukkan Jadual Peperiksaan Akhir Semester 2, Sesi 2019/2020, Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, Universiti Malaysia Sabah kepada pihak media. Ini juga telah kemudiannya disokong dan disahkan oleh rakan-rakan serta beberapa orang pensyarahnya.

https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/09/08/veveonah-was-having-her-exams-at-time-of-video-confirms-ums

Datuk Zahidi ternyata gagal memanfaatkan peluang pada Isnin, 7 September 2020 yang lepas untuk membuat permohonan maaf sepertimana yang beliau sendiri janjikan kepada publik melalui “posting fb” nya.

Bahkan, beliau juga telah cuba menepis kesilapan itu dengan menyalahkan Ahli Parlimen Kudat yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1, Abdul Rahim Karim. Ahli Parlimen Kudat ini pula seterusnya telah mengembangkan lagi sangkaan buruk awam kepada Veveonah.

https://www.google.com/amp/s/www.nst.com.my/amp/news/nation/2020/09/622694/mp-doubles-down-claim-tree-girl-veveonah-faked-internet-access-woes

Veveonah seolah-olah telah menjadi mangsa buli siber yang dilakukan oleh pelbagai lapisan pengguna media sosial yang dimulakan dan dimotivasi oleh anggota-anggota pentadbiran negara sendiri lanjutan daripada tindakan tidak bertanggungjawab Datuk Zahidi melalui penyataan salah beliau di dalam Dewan yang Mulia dan seterusnya kegagalan beliau untuk segera membetulkan faktanya di dalam Dewan yang Mulia. Kesannya, integriti Dewan yang Mulia ini juga seolah-olah diheret ke lembah penghinaan dan ini sama sekali tidak wajar dibiarkan.

Meskipun YBTM Datuk Zahidi telah membuat kenyataan memohon maaf atas kenyataan palsu ini di dalam “facebook” beliau, namun jelas perkara ini telah pun mendatangkan kesan buruk dan negatif kepada saudari Veveonah Mosibin dan keluarganya di ruang awam.

Lebih malang, YB Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia juga telah wewenangan mengelirukan dan mencemarkan Integriti Dewan yang Mulia, Dewan Negara.

Hal ini telahpun pihak kami yakni kepimpinan tertinggi Majlis Senator Malaysia (MSM) suarakan kepada Speaker Dewan Negara, Tan Sri Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam pertemuan kami bersama beliau pada 7 September 2020 yang lepas.

YBS Tan Sri YDP jelas memperlihatkan kesungguhan beliau untuk menangani isu ini sekaligus mengembalikan martabat dan integriti Dewan yang turut tercemar di ruang awam.

Justeru, Majlis Senator Malaysia percaya bahawa YB Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia perlu segera dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara untuk disiasat dan diambil tindakan tegas atas sikap tidak bertanggungjawab ini.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan perlu memutuskan sama ada Datuk Zahidi berkata benar berkenaan dakwaan mendapat maklumat tidak benar ketika memberi jawapan kepada Dewan Negara atau sebaliknya.

Majlis Senator Malaysia menyokong agar Usul yang dibawa oleh salah seorang Ahli Jawatankuasa Majlis Senator Malaysia, YB Senator Alan Ling diterima untuk dibahas dan diputuskan di dalam persidangan Dewan Negara pada kali ini.

SENATOR HJH RAJ MUNNI @ AIMAN ATHIRAH SABU
Setiausaha Kehormat
Majlis Senator Malaysia

Sumber :

COMMENTS