Timb Menteri kata sekolah di Kelantan tidak tutup kerana PKP namun surat JPN arah sebaliknya

Timb Menteri kata sekolah di Kelantan tidak tutup kerana PKP namun surat JPN arah sebaliknya

Kementerian Pendidikan tidak menutup sekolah di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seperti di Kelantan

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata pihaknya percaya operasi sekolah tidak akan menghadapi masalah, jika semua pihak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kenyataan daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba sebelum ini cukup jelas menyatakan cara SOP perihal pengoperasian sekolah.

“Kalau semua pihak mengamati dan melaksanakan mengikuti SOP yang sudah kita tetapkan secara sebaik-baiknya, saya percaya pengoperasian sekolah tidak akan menghadapi masalah yang terlampau besar.

Namun surat yang tular dari Jabatan Pendidikan Negeri kelantan sebaliknya dengan jelas mengarahakan semua sekolah di Kawasan PKP di Kelantan perlu ditutup.

“Kita hendak tekankan di sini bahawa kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan pelajar,” kepada pemberita selepas menghadiri majlis menyerahkan sumbangan untuk lukisan karya Master Cheng Shaoru’s di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy, di sini hari ini.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan menutup sekolah di Kelantan susulan tujuh daerah dikenakan PKP, sehingga 29 April ini.

Dr Mah berkata, penutupan kembali sekolah selepas hampir setahun tidak beroperasi boleh mengakibatkan pembelajaran terjejas.

“Pada waktu yang sama, perlu juga kita fahami bahawa pembelajaran untuk anak-anak murid kita juga sangat penting. Tidak ada seorangpun yang dapat meramalkan bila wabak pandemik COVID-19 ini akan berakhir.

“Jadi, kalau kita tidak memberikan perhatian yang secukupnya dari segi pembelajaran, anak-anak murid akan terkesan. Itu pun akan jadi satu masalah yang cukup besar,” katanya.

Beliau berkata, perlu ada mekanisme untuk mencari keseimbangan dari segi semua aspek berkenaan.

“Dari segi pembelajaran bahasa mungkinlah kita masih boleh lagi ‘catch up’ tetapi pada subjek tertentu dari segi Matematik dan Sains dan sebagainya, jika ada topik yang mereka tidak belajar, mereka tidak dapat meneruskan pembelajaran topik seterusnya yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, kes yang terjadi di sekolah sebenarnya jangkitan dari luar dan dibawa oleh sama ada murid atau guru.

“Dari segi risiko, sebaran atau merebaknya risiko jangkitan anak murid di sekolah di antara murid sebenarnya tidak tinggi dibandingkan mereka pergi ke bazar, pasar raya dan sebagainya,

“Oleh kerana itu kita kena faham waktu ini virus sudah berada dalam komuniti dan kita menekankan orang dewasa yang sepatutnya menerima vaksin kena mendaftar untuk menerima vaksin, agar kita dapat mencapai satu tahap bahawa bukan sahaja kita melindungi diri kita tetapi kita juga dapat melindungi anak murid dan semua orang dalam satu komuniti,” katanya.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/807771/kementerian-tak-tutup-sekolah-di-kelantan