Timb Menteri anggap kes bercuti di New Zealand sudah selesai

Timb Menteri anggap kes bercuti di New Zealand sudah selesai

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara Kumar Ramanaidu hari ini enggan menjawab soalan wartawan yang bertanya mengenai perjalanannya ke New Zealand baru-baru ini.

Bahkan bekas ahli parlimen PKR yang melompat menyertai Bersatu itu mendakwa isu berkenaan sudah selesai.

Ditemui semasa demonstrasi sekumpulan peneroka di Ladang Tennamaram di Tanjung Karang, Selangor hari ini, Santhara Kumar juga memberitahu isu berkenaan tidak ada kaitan dengan apa yang berlaku hari ini.

“Tak… tak. Perkara-perkara tu dah selesai, dan ia tak berkaitan (dengan demonstrasi).

“Saya dah buat kenyataan (sebelum ini), kalau nak kita boleh makan dan minum pada hari lain,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum itu Santhara Kumar ditanya apakah dia boleh menjawab isu berkaitan kunjungannya – untuk tempoh yang agak lama – ke New Zealand baru-baru ini.

Kunjungan berkenaan – yang dibuat semasa Santhara Kumar bercuti daripada tugasnya dalam kerajaan – mendapat kecaman pelbagai pihak, terutama ketika hampir semua orang dikekang oleh peraturan ketat perjalanan merentas daerah, negeri atau negara.

Dia kembali ke Malaysia pada pertengahan bulan Mac lalu selepas menghabiskan masa lebih 80 hari di negara yang terkenal dengan penternakan kambing biri-biri itu.

Anggap layanan dua darjat

Ahli Parlimen Segamat itu hadir di lokasi demonstrasi itu bersama Pengerusi Umno Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar, serta kira-kira 100 peneroka yang mengecam kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan.

Mereka mendakwa bahawa kerajaan negeri bertindak tidak adil terhadap kra-kira 300 peneroka dengan menyewakan kawasan seluas 800 hektar kepada dua syarikat swasta tanpa berbincang terlebih dulu.

Mereka juga mendakwa sudah tinggal di kawasan tersebut sejak 1995.

Ditanya mengenai kehadirannya di Tanjung Karang, Santhara Kumar berkata, walaupun ia jauh dari kawasan parlimen yang diwakilinya – selain bukan terletak dalam Wilayah Persekutuan – dia tetap datang untuk menyatakan kebersamaannya dengan peneroka terbabit.

Dia juga mendakwa ada antara peneroka terbabit datang mengadu masalah mereka ke pejabatnya sambil meminta bantuan.

Sebelum kembali ke Malaysia Santhara Kumar telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan alasannya untuk mengambil cuti panjang.

Antara alasannya ialah dia perlu ke New Zealand untuk bersama isterinya yang belum sihat selain menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah.

Kepulangannya juga mencetuskan rasa tidak puas hati sesetengah pihak apabila Kementerian Kesihatan Malaysia membenarkan dia menjalani kuarantin di rumah berbanding dengan pengasingan mandatori selama 10 hari di pusat-pusat kuarantin.

Sesetengah pihak berpendapat layanan yang diberikan kepada Santhara Kumar sebagai amalan dwi standard.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/569790