“Tidakkah PM berasa kesipuan dengan layanan Raja-Raja ini kepadanya?”, soal Pakar Perlembagaan

“Tidakkah PM berasa kesipuan dengan layanan Raja-Raja ini kepadanya?”, soal Pakar Perlembagaan

Pertamanya, sebagai rakyat kita semua menzahirkan junjung kasih atas kearifan YDPA dan Raja-Raja Melayu mendengar suara hati rakyat berkaitan keresahan masalah pandemik Covid-19 dan kesukaran ekonomi serta sosial.

2. 16 Jun 2021 bersamaan 5 Zulkaedah 1442 tercatat dalam sejarah Malaysia Istana Negara dan Raja-Raja Melayu mengeluarkan kenyataan berasingan. Ini isyarat penting kepada kerajaan PN bahawa hal ini adalah serius dan perlu perhatian segera.

3. Pelbagai ulasan telah diberikan oleh penganalisa politik negara dan tidak perlu diulang bahawa jelas Raja-Raja tidak berpuashati dengan prestasi kerajaan sekarang. Cuma Raja-Raja tidaklah sampai menggunakan istilah #KerajaanGagal. Jika dilihat kenyataan kali ini langsung tidak menyebut perkataan ‘Kerajaan Beta’ sebagaimana kenyataan sebelum ini. Tiga perenggan akhir kenyataan YDPA hanya menzahirkan penghargaan kepada Raja-Raja Melayu, penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan akhir sekali kepada rakyat. Tidak mungkin YDPA secara tidak sengaja tercicir penghargaan kepada kerajaan melainkan ianya adalah sengaja tidak disebut.

4. Kenyataan YDPA lebih umum berbanding kenyataan Raja-Raja Melayu. Kenyataan YDPA lebih awal dikeluarkan dari kenyataan Raja-Raja Melayu seolah-olah isyarat bahawa kenyataan YDPA itu harus disyarahkan dengan kenyataan Raja-Raja Melayu.

5. Titah YDPA dan Raja-Raja itu masih menghormati kedudukan dan kedaulatan takhta sebagai Raja Berperlembagaan dan sebagai institusi dalam Perlembagaan tanpa mencampuri bidangkuasa eksekutif dan legislatif. Teguran berlapik bahawa perlunya kerajaan yang stabil dan kukuh perlu dibaca secara terbalik bahawa kerajaan yang ada ini tidak kukuh dan tidak stabil serta tidak berfungsi secara efektif. Cuma YDPA tidaklah sampai menyatakan tukar kerajaan meskipun hakikatnya nakhoda baharu bagi negara ini perlu dilantik.

6. Kenyataan Raja-Raja Melayu lebih keras dengan isyarat nyata #KerajaanGagal dalam menjalankan fungsi eksekutif. Semangat syura atau budaya mesyuarah yang ditunjukkan oleh Raja-Raja ini patut menjadi teladan kepada kita semua dalam mencapai satu keputusan penting.

7. Ada 7 butiran yang Raja-Raja mengambil maklum (baca sebagai senarai kegagalan #KerajaanGagal iaitu kegagalan darurat untuk mengekang Covid-19, ekonomi yang merudum, politik tidak stabil, perpaduan yang retak, rakyat hilang kerja dan pendapatan, kerumitan suasana pembelajaran, umat Islam dan bukan Islam tidak lagi dapat beribadat dengan sempurna. Ini sangat memalukan dalam mana asas awal kerajaan ini adalah Melayu-Islam dan laungan Islam sebagai Penyelesaian itu sudah tidak bererti. Kesemua itu sudah menjadi slogan politik untuk tujuan meraih sokongan semata-mata dan tidak berupaya diterjemahkan dalam alam realiti.

8. Ada 7 butiran kesepakatan Raja-Raja iaitu nyawa dan kehidupan rakyat diutamakan, program vaksinasi mempunyai karenah birokrasi, program menangani Covid-19 diragui rakyat dan mungkin ada muslihat politik, kaedah menangani Covid-19 tidak cukup inklusif, suhu politik makin panas, kerajaan yang ada tidak stabil dan darurat tidak berkesan.

9. Ada satu perenggan khusus bagaimana Raja-Raja tidak berpuashati dengan urustadbir tentang hal-hal integriti khasnya berkaitan perbelanjaan kewangan negara. Raja-Raja juga memandang institusi Parlimen boleh menyemak hal itu. Perenggan akhir kenyataan itu seolah-olah isyarat wujudnya penyalahgunaan kuasa. Sehingga kini perbelanjaan berkaitan Covid-19 ini khasnya perolehan PPE dan vaksin kesemuanya dibuat secara rundingan terus dan perolehan darurat.

10. Apakah yang patut dibuat sekarang oleh Perdana Menteri? Tidakkah beliau berasa kesipuan dengan layanan Raja-Raja ini kepadanya? Tidakkah seluruh kabinet juga mempunyai sedikit rasa gundah dengan titah Raja-Raja ini. Cara terhormat adalah untuk mereka meletakkan jawatan dan ini akan memberikan ruang kepada YDPA untuk melantik nakhoda baharu bagi tanahair ini. Jika Perdana Menteri masih lagi mahu gagahkan diri memegang tampuk maka ingatlah bahawa kejatuhannya nanti akan lebih berat ditanggung daripada kejatuhan PM yang dikaitkan dengan 1MDB.

11. Bagi Menteri Kabinet sekarang eloklah meletakkan jawatan dan meminggirkan diri daripada #KerajaanGagal ini sebelum terlambat terutama Menteri-Menteri yang sepatutnya berpegang teguh dengan prinsip Islam.

12. Bagi Ahli-Ahli Parlimen lain sama ada pembangkang atau pun pihak kerajaan, hentikan seteru politik buat sementara waktu dan bergabunglah untuk membentuk satu kerajaan baharu untuk memberikan cahaya harapan kepada rakyat dan demi menjunjung kasih titah Raja-Raja Melayu ini. Usahakanlah pembentukan kerajaan campuran yang terdiri daripada pelbagai pihak dan lantiklah seorang Perdana Menteri daripada kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang boleh diterima oleh semua sementara menunggu wabak pandemik ini berlalu bagi memberikan laluan kepada PRU-15.

Semoga Allah SWT membuka hati dan hikmahnya kepada kita semua.

Dr Zulqarnain Lukman

Sumber: