Tidak wajar tangguh bayaran sara hidup bulanan peneroka Felda, ujar Pemuda AMANAH

Tidak wajar tangguh bayaran sara hidup bulanan peneroka Felda, ujar Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH terkejut satu memo bertarikh 20 March 2020 yang dikeluarkan oleh Pengurusan FELDA bagi menangguhkan segala urusan pembayaran kepada peneroka, pembekal, vendor dan kontraktor berikutan penutupan operasi di Menara Felda bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemuda AMANAH melahirkan kekecewaan terhadap pihak pengurusan FELDA yang turut menangguhkan pembayaran wang sara hidup kepada Peneroka FELDA.

Bayaran sara hidup bulanan ini adalah pendapatan utama para peneroka FELDA. Ada yang bergantung sepenuhnya kepada bayaran sara hidup ini. Dengan wang inilah mereka gunakan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Segala perbelanjaan harian menggunakan wang tersebut. Tidak dapat digambarkan betapa sukarnya situasi yang akan menimpa mereka apabila bayaran sara hidup ini ditangguhkan sehingga mereka tidak mampu untuk membeli keperluaan makanan harian.

Sehubungan itu, kami menggesa FELDA membuat bayaran mengikut jadual yang ditetapkan seperti biasa. Dalam situasi yang melanda pada hari ini, bukan sahaja Felda yang terkesan dengan PKP, bahkan kebanyakan syarikat lain juga terpaksa menutup premis mereka. Namun, dalam soal pembayaran gaji sudah pasti ianya adalah perkara pokok yang harus diselesaikan. Kemungkinan juga berlaku lanjutan tempoh PKP ini, adakah akan ditangguhkan lagi bayaran sara hidup ini?

FELDA juga sebenarnya sudah lama menggunakan sistem pembayaran atas talian terus ke akaun peneroka seperti mana sebelum ini. Dan perkhidmatan perbankan atas talian disenaraikan sebagai Essential Service yang dibenarkan beroperasi seperti biasa. Maka, tidak ada alasan bagi FELDA untuk melaksanakannya dalam tempoh ini.

Khairol Najib Hashim
EXCO Pemuda AMANAH Nasional
Ketua Pemuda AMANAH Perak