Tidak wajar sokong PN kerana mahu selamat diri, tegur Pemuda Pas

Pemuda Pas menggesa ahli Parlimen yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus menunjukkan komitmen mereka tanpa belah bahagi terhadap usaha kerajaan di samping bersikap ikhlas dengan tidak meletakkan sebarang syarat sebagai timbal balas kepada sokongan itu.

Ketua Penerangannya, Nazir Helmi berkata, sokongan itu juga tidak boleh dijadikan ‘penyelamat’ untuk melepaskan diri mereka.

“Jika ada pendakwaan dan kes-kes mahkamah yang belum selesai, ianya harus diselesaikan mengikut undang-undang.

“Sokongan kepada kerajaan bukan alasan untuk melepaskan diri daripada pendakwaan dan kes yang membelenggu,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar sebelum ini dilaporkan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan keluar parti itu berkuatkuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan, beliau turut mengumumkan akan menjadi ahli Parlimen bebas dan menyokong kerajaan PN.

Nazir berkata, Pemuda Pas juga menegaskan sokongan berkenaan tidak boleh dijadikan sebagai jalan untuk mengekalkan atau mendapat kerusi percuma dalam pilihan raya akan datang.

“Jika ada mana-mana ahli Parlimen tersebut yang digugurkan kes sebelum diadili seperti di zaman Pakatan Harapan (PH) atau jika ada yang dijamin kerusi dalam pilihan raya sebagai timbal balas sokongan mereka, pemuda Pas tidak teragak-agak untuk menentang pencalonan mereka dalam pilihan raya akan datang.

“Prinsip ini terpakai kepada semua parti yang bekerjasama dengan Pas, sama ada dalam PN mahupun Muafakat Nasional (MN),” tegasnya.

Dalam pada itu, Nazir berkata, di sebalik peristiwa yang berlaku itu, mereka percaya sokongan berkenaan adalah bukti ketidakpercayaan ahli Parlimen pembangkang khususnya PKR kepada kepimpinan parti mereka sendiri.

“Nasihat kami, tinggalkanlah pimpinan parti anda sebelum terlambat. Jangan diharap pada pemimpin yang sanggup berbuat apa sahaja demi nafsu politiknya.

“Mari bersama kita bangunkan Malaysia tanpa agenda peribadi,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/128307/BERITA/Politik/Sokongan-kepada-kerajaan-PN-tidak-boleh-jadi-penyelamat-lepaskan-diri

COMMENTS

Wordpress (0)