Sanusi : Tak semua persoalan di medsos perlu dijawab

Sanusi : Tak semua persoalan di medsos perlu dijawab

Jentera penerangan disarankan memberi perhatian kepada perkara lebih besar untuk mengekalkan sokongan rakyat kepada PAS daripada melayan isu remeh temeh yang tidak menguntungkan parti. Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jentera penerangan sebaiknya tidak membuang masa mencari jawapan yang tak perlu sedangkan banyak lagi perkara besar yang harus dibuat.

“Jentera penerangan perlu mengelak diri daripada menimbulkan persoalan yang dikutip ‘di tepi jalan’ kemudiannya meminta jawapan dan kupasan pemimpin.

“Betulkah ini? Bolehkah bagi pencerahan, lakkan berlaku sebegitu. Jangan ambil maklumat musuh selepas itu minta pemimpin jawab,” tegasnya ketika merasmikan Konvensyen Penerangan dan Media Baharu anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Pusat secara di atas talian, semalam.

sanusi

Sanusi turut mengajak para peserta agar mengambil cakna pesanan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah agar jangan di antara kita mengambil ‘reba’ di jalan kemudian dibawa pulang ke rumah sehingga menyusahkan pergerakan.

“Tuan Guru Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pun ada berpesan, masa kita amat terhad, banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Tidak semua persoalan di media sosial (medsos) perlu dijawab, lebih baiklah masa itu digunakan untuk jelaskan apa yang hendak perlu disampaikan kepada rakyat.

“Kadang-kadang mereka itu bukan nak tanya sangat pun tapi nak perangkap agar kita buat kesilapan,” kata beliau.

Sementara itu untuk melahirkan jentera penerangan yang mantap, beliau menyarankan menguasai ilmu dan kemahiran agar maklumat yang disampaikan menepati kehendak semasa.

Oleh itu katanya, perkara berkenaan sangat penting terutama untuk mengetengahkan jentera yang cakna perubahan semasa.

“Jentera penerangan yang mengambil bahagian di media sosial (medsos) bukan sahaja berperang dengan mereka dari parti politik lain tetapi menjadi penyampai maklumat kepada orang lain.

“Maka perlu peka dan cakna sepanjang masa untuk menyebar luas maklumat selain membentuk pemikiran pengundi agar terus menyokong PAS,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, tindakan semasa politik sekarang terlalu pantas hingga tidak sedar apa yang berlaku semalam dan tidak dapat menjangka apa akan terjadi esoknya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah, menggalakkan agar setiap jentera mempunyai peralatan, peranti dan platform yang sesuai untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Tambahnya, penerangan secara konvesional kemungkinan tidak menjadi kaedah terbaik buat masa ini apatah lagi dalam suasana pandemik Covid-19.

“Jadikan Harakahdaily sebagai sumber maklumat rasmi parti selain Bernama dan RTM. Wujudkan page atau portal yang boleh dikongsi selain laman rasmi PAS dan Perikatan Nasional (PN) untuk menyampaikan maklumat dan penjelasan kepada rakyat.

“Mengenal market dan sasaran yang betul agar penyampaian lebih berkesan. Elak serangan berunsur fitnah kerana kita yang digelar parti ‘pak lebai’, kalau buat nampak buruk dari mereka,” pesan beliau lagi.

Oleh itu, ujarnya apabila PAS berada di persada arus perdana serta menjadi sebahagian Kerajaan Pusat dan negeri maka tidak hairanlah semua masalah ditudingkan kepada parti itu.

“Di peringkat Kerajaan Pusat, PAS mempunyai tiga menteri dan lima timbalan menteri selain beberapa orang di peringkat GLC.

“Dua kerajaan negeri solid PAS dan satu negeri campuran tetapi dominan dan majoriti. Semua ini amat memberi kesan kepada politik negara.

“Maka tidak hairanlah ia menjadi kecemburuan di atas prestasi cemerlang yang ditunjukan PAS oleh musuh politiknya,” sambung Adun Jeneri itu lagi.

Berikutan itu, katanya semua jentera sama ada pilihan raya atau penerangan perlu mempunyai kekuatan fizikal dan mental agar maklumat yang disampaikan mengikut perkembangan semasa dan menjauhi persoalan yang tidak menguntungkan parti.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu juga berpesan agar semua pihak mengambil kesempatan di atas kelebihan produk PAS yang tiada pada parti lain.

Sebagai contoh, katanya, institusi pendidikan yang dipelopori oleh Dewan Pemuda yang mampu menjadi tarikan dan pilihan orang ramai.

“Elak mewujudkan produk yang serupa dan bersaing di kedai yang sama sebaliknya sediakan produk yang berlainan dan menjadi pilihan orang ramai. Orang lain tak ada kita ada,” tambahnya lagi.

Dalam ucapannya juga melahirkan keyakinan kepada semua jentera parti pelbagai peringkat yang istiqamah mempertahankan pegangan parti iaitu melaksana serta menyebar kebaikan dan dalam masa yang sama mencegah sebarang bentuk kemungkaran.

“Oleh itu saya beryakinan semua jentera parti yang ada kini tidak akan melakukan perkara menyalahi undang-undang dan norma Islam serta tidak terlibat dengan perkara yang menjatuhkan reputasi parti,” pesannya kepada peserta konvesyen seluruh negara itu.

Program yang berlangsung secara di atas talian itu selain membincangkan gerak kerja jentera penerangan seluruh negara, kecemerlangan pencapaian tiga negeri yang ditadbir PAS iaitu Kelantan, Terangganu dan Kedah juga dibentangkan.

Sementara itu ucapan perasmian penutup akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, hari ini.

Berita penuh : https://harakahdaily.net/index.php/2021/06/19/jangan-timbulkan-persoalan-dikutip-di-tepi-jalan/

BACA JUGA : https://www.inforakyat.net/kes-test-drive-sanusi-kini-disiasat-bukit-aman/