Tiada untungnya Umno berada dalam kerajaan PN

Tiada untungnya Umno berada dalam kerajaan PN

Kerjasama yang terjalin antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat tidak memberi kelebihan kepada parti UMNO dalam Kabinet.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, UMNO wajar mendapat tempat yang lebih dalam Kabinet berikutan mempunyai ahli yang ramai berbanding parti lain.

“Sedangkan UMNO mewakili 45 wakil dalam Parlimen mendapat jawatan dalam Kabinet yang tidak sewajarnya. Terutamanya yang selalu ditimbulkan ialah jawatan Timbalan Perdana Menteri yang sewajarnya diberi kepada UMNO dan Menteri Kanan.

“Walaupun kita ada seorang Menteri Kanan tetapi banyak (jawatan) memegang portfolio penting telah dipegang oleh Bersatu,” katanya pada Isnin.

Selain itu, beliau berkata, majoriti ahli Pas juga mendapat tempat di Kabinet walaupun mempunyai bilangan kerusi yang rendah jika dibandingkan dengan UMNO.

“Jika dilihat Pas hanya ada 18 kerusi di Parlimen iaitu hampir semua orang mendapat tempat,” tambahnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai usul menolak kerjasama dengan Bersatu, beliau menyarankan agar menunggu sehingga keputusan diumumkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan datang.

Beliau berkata, keputusan itu terserah kepada Jawatankuasa Usul UMNO Malaysia sama ada mahu menerima tanpa bahas atau diterima untuk bahas.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/117598/BERITA/Politik/Kerjasama-UMNO-Bersatu-tidak-beri-kelebihan