Tiada idea baru dan proaktif dari Menteri Pendidikan untuk hadapi PdPR, kata pakar

Tiada idea baru dan proaktif dari Menteri Pendidikan untuk hadapi PdPR, kata pakar

Seorang pakar pendidikan berkata kemunculan Menteri Kanan (Pendidikan), Radzi Jidin pada sidang media maya pagi tadi mengenai pengoperasian sekolah hanya menyerlahkan lagi kementeriannya yang kurang proaktif dalam melindungi warga pendidik berdepan Covid-19.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata sesi taklimat yang sepatutnya dipenuhi jawapan kepada persoalan warga pendidik mengenai isu semasa hanya berkisar kepada penjadualan dan tarikh persekolahan.

“Tidak banyak agenda baru khususnya apakah perancangan dan program Kementerian Pendidikan untuk mengurangkan keciciran pembelajaran anak-anak kita. Bagaimana usaha KPM untuk membantu guru?

“Sidang media itu nampaknya lebih bersifat taklimat pengurusan saja. Persoalan lebih besar nampaknya masih tergantung,” katanya kepada FMT.

Pagi tadi, Radzi mengumumkan semua pelajar akan menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama 25 hari selepas cuti pertengahan tahun berakhir.

Katanya, sesi PdPR itu akan bermula pada 13 Jun untuk negeri kumpulan A dan 14 Jun untuk negeri kumpulan B.

Kumpulan A terdiri daripada sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala kumpulan B adalah sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Manakala, tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2021 ditunda kepada Februari 2022 bagi ujian lisan dan amali sains, sementara bagi peperiksaan bertulis akan diadakan pada Mac 2022.

Mengenai peranti pintar bawah projek perintis pembelajaran digital CERDIK, Radzi menjelaskan KPM menerusi Yayasan Hasanah sudah mengagihkan 12,887 daripada 150,000 unit yang dijanjikan, kepada murid keluarga B40.

Anuar berkata, selaku menteri bertanggungjawab terhadap isu pendidikan negara, Radzi seharusnya segera bertindak untuk menyalurkan peranti pintar kepada seberapa ramai murid B40 memandangkan inisiatif itu sudah lama dilaksanakan.

“Sudah hampir dua tahun murid perlu menjalani PdPR, semakin ramai pelajar khususnya dari keluarga B40 yang keciciran pembelajaran. Apakah ada skim pinjaman mudah, baucar atau subsidi untuk ibu bapa beli komputer?,” katanya.

Malah, kegagalan Radzi untuk segera mewujudkan Pusat Inovasi dan Pembangunan Bahan Pengajaran dan Pembelajaran untuk PdPR juga menjadi persoalan warga pendidik.

“Mengapa tidak dikongsikan kejayaan sekolah contoh PdPR? PIBG contoh PdPR? Guru contoh PdPR? Pengetua contoh PdPR? PPD contoh PdPR? Ibu bapa contoh PdPR?

“Mengapa KPM tidak kongsi dan angkat contoh-contoh yang telah berjaya laksanakan PdPR untuk dicontohi oleh guru-guru lain dan diraikan oleh masyarakat?,” soalnya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/06/kpm-kurang-proaktif-laksana-pdpr-menteri-hanya-jadi-tukang-sampai-kata-pakar/