Tiada had bilangan lesen import terbuka yang akan diluluskan – MITI

Tiada had bagi bilangan Lesen Import (AP) yang akan diluluskan sepanjang tahun di bawah dasar baharu AP terbuka yang dilaksanakan bermula 1 Jan, 2019, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri  (MITI).

Kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata syarikat-syarikat boleh memohon AP tambahan berdasarkan kepada prestasi jualan mereka.

“Buat masa ini, kebanyakannya syarikat baharu masih belum beroperasi sepenuhnya kerana mereka perlu memenuhi beberapa keperluan teknikal dan sedang membuat persiapan pengendalian ahli,” kata MITI.

Pelaksanaan itu adalah sejajar dengan keputusan kerajaan pada 23 Disember 2015 untuk meneruskan dasar tersebut dengan beberapa penambahbaikan termasuk menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera untuk menyertai industri itu.

Objektif dasar baharu ini adalah untuk menggalakkan pembangunan usahawan baharu Bumiputera dalam industri automotif serta memastikan dasar tersebut terus menyumbang kepada matlamat sosio ekonomi negara.

Selain itu, ia juga bertujuan mewujudkan daya saing pasaran yang akan memberi manfaat kepada pengguna terutamanya dari segi harga dan perkhidmatan.

Kementerian itu berkata ketika tawaran permohonan dibuka pada 23 Mei 2016 hingga 21 Jun 2016, MITI telah menerima hampir 300 permohonan untuk menjadi syarikat AP terbuka.

Setelah penilaian dibuat, yang turut melibatkan kerja-kerja pengauditan oleh sebuah syarikat juruaudit bebas bertauliah, bilangan syarikat yang layak adalah sebanyak 164 syarikat, iaitu 128 syarikat sedia ada dan 36 syarikat baharu.

MITI berkata ia akan terus memantau dan mengaudit syarikat AP terbuka.

Di bawah dasar baharu ini, sekiranya terdapat pelanggaran terhadap mana-mana syarat AP terbuka yang ditetapkan, tindakan tegas akan diambil termasuk menarik balik atau membekukan AP yang telah diperuntukkan dan diluluskan, menyenarai hitam syarikat termasuk setiap pemegang saham dan ahli lembaga Pengarah syarikat daripada mengemukakan apa-apa permohonan memperolehi AP terbuka pada masa hadapan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat.

Tahun lepas, MITI telah menyenarai hitam sembilan syarikat sedia ada kerana tidak mematuhi syarat-syarat AP terbuka yang ditetapkan.

Antara syarat-syarat yang perlu dipenuhi ialah syarikat mesti dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera, termasuk jawatan-jawatan penting di peringkat pengurusan, mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 2 tahun dalam bidang penjualan dan pengedaran kenderaan serta mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh

MITI berkata syarat-syarat semasa mengenai kelayakan sebagai syarikat AP terbuka dan senarai terkini syarikat yang telah dilantik sebagai syarikat AP terbuka boleh dirujuk di portalnya, www.miti.gov.my.

MITI mengalu-alukan sebarang aduan atau maklum balas mengenai isu berkaitan penjualan AP terbuka kereta atau motosikal.

Aduan boleh diemailkan kepada [email protected] dan identiti pengadu akan dirahsiakan