Tetap tak mahu adakan sidang parlimen, Takiyuddin tak hormat Agong

Tetap tak mahu adakan sidang parlimen, Takiyuddin tak hormat Agong

Gabungan Pakatan Harapan (PH) mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan yang didakwa sebagai tidak menghormati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari lalu yang menyatakan parlimen boleh bersidang sewaktu darurat berkuatkuasa.

Dalam kenyataan hari ini, majlis sekretariat PH berkata, mereka kesal dengan alasan-alasan yang diberi Takiyuddin tentang mengapa jemaah menteri tidak menasihati Seri Paduka Baginda untuk memanggil Parlimen bersidang.

“Antara alasan utama yang diberi termasuklah undang-undang yang tidak perlu diluluskan parlimen sewaktu darurat berkuatkuasa, dan ramainya ahli parlimen yang berisiko tinggi menjangkiti Covid-19 sekiranya parlimen bersidang.

“Kesemua alasan yang diberi adalah lemah, dangkal dan tidak menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda,” katanya dalam kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Saifuddin Nasution, Dr Hatta Ramli dan Anthony Loke Siew Fook.

Terdahulu, Takiyuddin berkata bahawa sidang akan ditangguh dalam tempoh darurat yang berkuatkuasa sehingga 1 Ogos ini.

Katanya, sebahagian besar anggota parlimen merupakan kumpulan berisiko dijangkiti Covid-19 dan ini merupakan antara sebab parlimen ditangguhkan.

Menurutnya, daripada 220 ahli parlimen, 77 daripadanya berusia 61 hingga 69 tahun, 19 orang berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas.

“Hampir sebahagian ahli parlimen adalah kumpulan berisiko, jadi kita tidak mahu mereka terdedah kepada Covid-19 sebab berada di ‘confined area’ iaitu sempit dan tertutup.

“Apabila parlimen bersidang, seorang ahli parlimen akan bawa tiga pegawai bayangkan berapa ramai di tempat itu dengan kakitangan awam lagi,” kata pemimpin PAS itu yang dipetik Bernama.

Bagaimanapun, PH menegaskan bahawa berdasarkan bukti dan data, sepanjang 55 hari parlimen bersidang sepanjang tahun 2020, tiada seorang ahli parlimen pun yang dijangkiti Covid-19 di parlimen.

“Tiada satu pun kluster Covid-19 yang dibuktikan terhasil akibat persidangan parlimen.

“Perlu diingatkan bahawa pada waktu itu, belum seorang ahli parlimen pun yang telah menerima vaksin.

“Malah fakta ini membuktikan bahawa langkah-langkah dan SOP yang diambil bagi perjalanan sidang parlimen pada 2020 berkesan, dan parlimen boleh bersidang sekarang tanpa lengah,” kata mereka.

Tambah mereka, jemaah menteri perlu menjunjung kasih di atas titah nasihat Seri Paduka Baginda, serta menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen segera.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/565144