
Semenjak semalam bila Tun ditanya dalam sidang media selepas pengumuman pelan stimulus ekonomi, beliau mengatakan bahawa YDPA akan titahkan ada sidang khas parlimen pada Isnin, 2 Mac 2020 kerana tiada undi majoriti yang jelas tentang siapakah yang sepatutnya dipilih menjadi PM ke 8.
Ramai peguam yang tidak bersetuju jika YDPA mengambil tindakan sedemikian dengan alasan tiada peruntukan jelas dalam perlembagaan dan YDPA yang sepatutnya membuat keputusan. Kata mereka lagi yang ada dalam Perlembagaan hanya undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Saya tidak bersetuju dengan pandangan itu kerana jika YDPA berbuat demikian ianya masih dalam ruang lingkup “in his judgment likely to command confidence” (pada hematnya orang yang mendapat sokongan majoriti) yang disebut dalam Per. 43(2).
Langkah membawa ke dewan adalah sama seperti YDPA menemubual setiap orang. Malah, langkah ini lebih baik kerana ianya adalah sangat telus kerana bakal disaksikan oleh jutaan manusia berbanding dengan temubual di istana.
Saya juga berpendapat YDPA mempunyai budi bicara untuk mendedahkan jumlah undi temubual atau tidak. Itu hak baginda untuk merahsiakannya. Mungkin sebenarnya lebih baik dirahsiakan sebab temubual itu sendiri adalah rahsia.
Setelah dewan membuat keputusan maka pada waktu itulah YDPA akan melantik PM ke 8. Itu pun jika ada keputusan. Maksud keputusan itu adalah undi sebanyak 112 atau simple majority sahaja daripada jumlah kehadiran ahli dewan Isnin ini. Maka tidaklah tindakan YDPA itu terjumlah kepada perbuatan tidak berpelembagaan.
~Zulqarnain Lukman, Pengerusi KANUN AMANAH