Ternak ayam dalam flat, lelaki didenda

ayam

Ternak ayam dalam flat, lelaki didenda. Seorang lelaki berusia 50 tahun didenda SG$2,000 (kira-kira RM6,215) pada 18 Ogos lalu kerana menternak lebih 24 ayam untuk dijual, di flat didiaminya di Pasir Ris, di sini.

Today Online melaporkan, Eric Woo Yoke Meng, menyembunyikan penjualan ayam itu kononnya menjual makanan ayam kepada ahli kumpulan di Facebook (FB).

Ayam itu dibiakkan daripada telur yang dibekalkan oleh pengikut sebagai sebahagian daripada perjanjian dipersetujui.

Eric mengaku bersalah atas satu pertuduhan iaitu mengendalikan ladang tanpa lesen di bawah Peraturan Haiwan dan Burung (Pelesenan Ladang).

Dua lagi pertuduhan adalah menyimpan lebih 10 haiwan ternakan bukan komersial di premis serta menggunakan flat lima bilik untuk mengedarkan ayam tanpa lesen yang turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

 ayam

Pada 2019, Eric dilaporkan media tempatan sebagai seorang penternak ayam terkenal dalam kalangan masyarakat.

Dia sering kali menawarkan anak ayam untuk dipelihara melalui kumpulan FB diasaskannya bernama Fowl Mouthed Family, dengan mengenakan bayaran.

Bagaimanapun, hobinya itu terjejas pada Mei 2019 apabila pegawai Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) membuat lawatan mengejut ke rumahnya berdasarkan maklumat diterima.

Ketika kunjungan, pegawai terbabit memberitahunya mengenai larangan menyimpan ayam di flat HBD.

Mahkamah diberitahu pada 18 Ogos lalu bahawa Lembaga Taman Negara (NParks) menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan Eric.

Pada 9 Julai tahun lalu, pegawai NParks mengunjungi flat Eric dan mendapati 25 ayam disimpan dalam dua sangkar dan sebuah bekas plastik.

Siasatan menunjukkan Eric menubuhkan kumpulan itu pada Julai

2018 untuk menggalakkan hobi memelihara dan minat terhadap ayam itik.

Dia mengumpulkan telur ayam daripada anggota kumpulan itu, menetaskannya dan menjaga haiwan itu sebelum menyerahkan kepada ahli untuk memeliharanya sebagai ganti kerana membeli dua bungkus makanan ternakan berharga SG$39.90 (RM124) setiap satu.

Bagaimanapun, ahli kumpulan perlu memulangkan satu bungkus makanan kepadanya untuk menyokong program pembiakannya dan menggunakan satu lagi bungkus untuk memberi makan kepada ayam yang dipelihara mereka.

Pendakwa raya NParks Wendy Tan memberitahu mahkamah secara ringkas pemelihara akan membawa pulang dua anak ayam dan satu bungkus makanan ternakan selepas membayar SG$79.80 (RM248) kepada tertuduh.

“Tertuduh mengaku membeli setiap paket makanan ternakan itu pada harga SGD$25 (RM78) daripada seorang peruncit,” katanya.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/08/746670/kantoi-ternak-ayam-dalam-flat

BACA: Pelan baik pulih pendidikan, Maszlee kemuka cadangan kepada kerajaan