Terminal Perikanan Bersepadu Kedah dijangka siap dalam dua tahun – Mukhriz

Projek pembinaan Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT), dijangka siap dalam tempoh dua tahun, selepas Menteri Besar Incorporated (MBI Kedah) dan pihak pemaju Luhaifeng Holdings (M) Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman pada 26 Jun lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir juga memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini bahawa, lokasi baharu pembinaan KIFT ke kawasan lima kilometer utara dari Pekan Kuala Kedah akan dimaklumkan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara dalam mesyuarat akan datang.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau) yang ingin tahu mengenai tempoh pembinaan terminal itu pada sesi sidang DUN di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mukhriz berkata kepentingan nelayan tempatan juga akan lebih terjamin menerusi pembinaan terminal itu kerana terdapat pelbagai kemudahan moden akan disediakan untuk kegunaan mereka.

“Sebelum ini saya pernah adakan perbincangan dengan Persatuan Nelayan Kedah dan mereka memberikan pandangan positif terhadap projek KIFT ini,” katanya.

Projek KIFT yang membabitkan kos kira-kira RM1 bilion itu pernah diumumkan Mukhriz pada Oktober 2015, ketika beliau masih mewakili Barisan Nasional (BN) dan kemudian cadangan itu dipertimbangkan semula oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, beliau berkata Pulau Songsong, Pulau Bidan dan Pulau Telur tidak digazetkan sebagai Taman Laut, sebaliknya digazetkan sebagai kawasan hutan simpan, justeru ia tidak akan menjejaskan aktiviti nelayan tempatan di sekitar kepulauan itu.

“Saya tidak lihat apa impaknya kepada nelayan dan kita tidak mahu mengganggu kawasan pesisiran pantai dan lautan di sekeliling pulau tersebut,” katanya semasa menjawab soalan Mohd Azam yang turut ingin tahu sama ada terdapat kajian menilai kesan terhadap nelayan tempatan jika kepulauan itu digazetkan sebagai Taman Laut.

BERNAMA