Terlalu asyik buru mandat, akhirnya PH hilang arah

Terlalu asyik buru mandat, akhirnya PH hilang arah

Pakatan Harapan menjadi harapan kepada rakyat menggantikan Barisan Nasional pada PRU 14. Harapan itu tercapai apabila PH menjadi kerajaan di bawah Tun M sebagai Perdana Menteri. Namun, belum pun 2 tahun memerintah, Tun M telah meletak jawatan tanpa berbincang dengan pimpinan PH.

Apabila jatuh kerajaan PH, rakyat dan penyokong PH di sajikan dengan pelbagai harapan untuk mendapatkan mandat semula. Namun sehingga kini, harapan itu semuanya tidak menjadi malah PH sendiri seperti tiada kemudi. Benar , keputusan Majlis Presiden PH adalah mendapatkan mandat semula melalui usaha DSAI .

Tapi , Majlis Presiden PH juga membuat keputusan untuk memperkukuhkan PH. Yang dilihat oleh rakyat dan penyokong PH hanya berita-berita tentang usaha mendapatkan mandat. Tiada pun usaha yang jelas memperkukuhkan PH , hanya kenyataan-kenyataan pimpinan PH bahawa PH akan diperkukuhkan.

Walaupun PH masih wujud, namun pimpinan PH bergerak dengan cara masing-masing. DSAI dengan cerita cukup majoriti, pimpinan AMANAH dan DAP dengan ‘grand coalition’, Ahli Parlimen PH tidak bergerak sekali mendepani satu-satu isu. Boleh tengok sudah beberapa kali keluar berita ,Ahli-Ahli Parlimen tertentu dari PKR, AMANAH dan DAP bersama untuk satu-satu isu.

Sedangkan boleh sahaja mereka semua MP PH membuat kenyataan bersama dalam satu-satu isu. Penyokong PH di bawah mula berselisih pandangan tanpa hala tuju jelas. Penyokong PKR hentam pemimpin AMANAH dan DAP, penyokong AMANAH belasah pimpinan PKR. Seperti tiada usaha mendamaikan. Sebaliknya dibiarkan penyokong bertelingkah sesama sendiri. Adakah PH akan berpecah? Sebenarnya, PH masih kuat , masih bersama .

Cuma penumpuan PH lebih kepada mendapatkan mandat. PH boleh berusaha mendapatkan mandat, tetapi usaha memperkukuhkan PH perlu dijalankan serentak. Apa yang PH perlu segera lakukan? Pertama, melantik Pengerusi PH di negeri-negeri yang sekarang ini tiada Pengerusi. Kedah, Perak, Kelantan dan Johor. Kedah, Perak, Johor kerana dulunya Pengerusinya dari PPBM.

Kelantan kerana Datuk Husam meletakkan jawatan. Apabila Pengerusi PH negeri sudah dilantik, barulah PH negeri dapat mengadakan mesyuarat bersama serta memutuskan kenyataan bersama dalam setiap isu. Jika tidak, masing-masing parti dengan cara tersendiri. Kedua, mengarahkan semua PH negeri membuat pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti dalam PH.

Pembahagian kerusi ini perlu segera dilakukan kerana PRU 15 hendak diadakan oleh PN dan BN pada tahun ini juga. Tidak perlu mandat rakyat dicapai, tidak perlu tunggu ‘grand coalition’ termeterai. Ketiga-tiga parti dalam PH perlu mengadakan pembahagian kerusi terutama terhadap kerusi-kerusi yang ditinggalkan PPBM serta kerusi ketiga-tiga parti yang melompat.

Jika persetujuan sudah dicapai, barulah jentera ketiga-tiga parti dapat memberi fokus terhadap kerusi yang ditandingi. Jika ditunggu ‘grand coalition’ termeterai, PH semua peringkat tidak akan bergerak sehingga PRU diumumkan.

Pembahagian kerusi dengan parti Pejuang dan Muda boleh dibuat oleh mana-mana parti yang bersetuju berbahagi kerusi dengan parti-parti ini. Contohnya, jika AMANAH hendak berbahagi kerusi dengan Pejuang. Bolehlah diberikan kerusi yang menjadi milik AMANAH kepada Pejuang.

Begitulah juga dengan parti lain dalam PH. PH tidak perlu menunggu kesudahan krisis Umno dan PPBM serta Pas. PH kena bergerak untuk pertandingan 2 penjuru bagi menghadapi PRU 15.

Perlu diketahui, pertandingan 2 penjuru sebenarnya tidaklah banyak memberi kelebihan kepada PN/BN. Penulis akan memberi penumpuan kepada tiga negeri di Selatan tanahair iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Pengaruh Maufakat Nasional sebenarnya tidak kuat di ketiga-tiga negeri ini. Pas tidak mendapat undi yang besar di negeri-negeri ini, menyebabkan gabungan undi Umno-Pas masih tidak dapat menyaingi undi PH.

Undi Melayu yang diterima PH di Johor pada PRU 14 ialah 27.2%, Negeri Sembilan 26.2% dan Melaka 26.4%. Purata undi Melayu yang diterima oleh Pas pula sangat kecil kurang dari 10% , manakala lebih 60% undi diterima oleh BN.

Menariknya, undi Cina yang diterima oleh PH di Johor hanya mencapai 74.6% tidak seperti dinegeri-negeri lain yang melebihi 95%. Undi India kepada PH di Johor mencatat 74%, 71.5% di Negeri Sembilan , namun di Melaka hanya 58.5% sahaja.

Merujuk kepada jadual di bawah, pada PRU 14 PH Johor menang 37 kerusi berbanding BN menang 19 kerusi (Parlimen 18 PH, 8 BN). Walaupun dibuat gabungan undi Umno-Pas, PH masih memerintah Johor dengan 29 kerusi berbanding 27 kerusi BN (Parlimen 16 PH, 10 BN).

PH hanya memerlukan tambahan 5% undi untuk mendapat tambahan kerusi bagi terus memerintah Johor pada PRU 15. Perkembangan politik dan keadaan ekonomi yang makin menekan semasa pemerintahan PN akan memudahkan tambahan 5 % ini dicapai . Penambahan undi bukan Melayu kepada PH akan memudahkan lagi usaha PH mencapai tambahan 5% undi.

Tulahan

COMMENTS