Terkini !!! Mahkamah arah Raja Petra bayar RM600,000 kepada Lim Guan Eng kerana fitnah

Terkini !!! Mahkamah arah Raja Petra bayar RM600,000 kepada Lim Guan Eng kerana fitnah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan ganti rugi sebanyak RM600,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, dalam kes saman fitnahnya terhadap penulis blog Raja Petra Kamaruddin.

Ia berhubung 10 artikel berkenaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion yang disiarkan Raja Petra.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mohd Arief Emran Arifin turut mengarahkan Raja Petra untuk membayar RM10,000 sebagai ganti rugi kos kepada Lim.

Sebelum ini, Lim dalam saman fitnahnya menuntut ganti rugi sebanyak RM20 juta.

Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Tinggi menetapkan penghakiman ingkar untuk Lim. Berdasarkan undang-undang, plaintif boleh memohon penghakiman ingkar jika defendan gagal menghadiri perbicaraan tindakan sivil, walaupun kertas kausa telah diberikan kepadanya.

Peguam Lim, Simon Murali hari ini mengesahkan jumlah ganti rugi tersebut.

“Defendan diarahkan membayar RM600,000 kepada plaintif sebagai ganti rugi am dan ganti rugi teruk. Defendan juga diarahkan membayar kos RM10,000 kepada plaintif,” katanya ketika dihubungi.

Katanya lagi, mahkamah turut mengarahkan Raja Petra untuk membayar kadar faedah ganti rugi sebanyak lima peratus, bermula tarikh saman difailkan (6 September 2019) sehingga tarikh ia dibayar sepenuhnya.

“Kami sedang menunggu arahan daripada anak guam (Lim),” katanya berhubung tindakan selanjutnya bagi mendapatkan ganti rugi itu daripada Raja Petra.

Saman yang difailkan Lim menamakan Raja Petra sebagai satu-satunya defendan.

Dia memfailkan saman itu susulan siri artikel “Dari Fail SPRM” yang disiarkan di laman Malaysia Today – dalam kedua-dua versi bahasa Melayu dan Inggeris – antara 24 Februari hingga 15 Mac.

Artikel itu berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek infrastruktur itu.

Lim kini sedang berdepan pertuduhan rasuah berhubung projek itu. Perbicaraannya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dijadual bermula 8 Jun ini.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/576101