Terkini !!! Lokman Noor Adam dijatuhi hukuman penjara sebulan

Terkini !!! Lokman Noor Adam dijatuhi hukuman penjara sebulan

Lokman Noor Adam dijatuhi hukuman penjara sebulan. Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu terhadap Lokman dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Lokman untuk hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah kemudian memerintahkan Lokman dikenakan bon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pada 22 Oktober 2019, Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana tindakan responden yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Pada 14 Januari 2020, Sequerah menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Tommy dan responden juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Tommy memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah supaya responden dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Menurut Tommy, pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Tommy berkata pada hari sama, Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang juga saksi pendakwaan kelapan dalam kes itu, berhubung keterangannya pada perbicaraan berkenaan.

Katanya, matlamat atau tujuan tindakan responden itu ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/07/839623/lokman-noor-adam-dipenjara-sebulan

BACA JUGA : Panas !!! Lokman Adam didapati bersalah hina mahkamah