Terkini !!! Datuk Seri Amrin diumum CEO Tabung Haji yang baharu

Terkini !!! Datuk Seri Amrin diumum CEO Tabung Haji yang baharu

Datuk Seri Amrin Awaluddin dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu mulai 6 Mei.

Beliau akan menggantikan Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff yang akan melepaskan jawatan sebagai Ahli Lembaga, Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO berkuat kuasa 5 Mei ini.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan TH hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri setuju melantik Amrin untuk jawatan itu.

Amrin, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di sektor korporat.

Beliau memulakan karier di instutusi perbankan sebelum memegang beberapa jawatan penting di syarikat seperti Renong Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad dan Putera Capital Berhad.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai CEO antaranya di Natseven TV Sdn Bhd (NTV7), Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Media Prima Berhad, Sime Darby Property Berhad, Boustead Holdings Berhad dan LTAT.

Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Acadia, Kanada dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dengan kepujian dari University of Hull, England.

Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), UK dan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Pengerusi TH Tan Sri Md Nor Yusof berkata, beliau yakin kemahiran dan pengalaman luas dimiliki Amrin akan dapat membawa TH ke tahap lebih cemerlang dan membanggakan.

TH kini mempunyai kira-kira sembilan juta pendeposit dan dana terkumpul hampir RM80 bilion.

Md Nor turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Nik Mohd Hasyudeen atas komitmen serta usaha beliau dalam memajukan TH sebagai institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang baik.

Nik Mohd Hasyudeen telah menerajui TH semenjak 1 September 2019.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/datuk-seri-amrin-awaluddin-dilantik-ceo-th-baharu-295450