Terkini !!! Anwar dipanggil beri keterangan di Bukit Aman berhubung isu audio

Terkini !!! Anwar dipanggil beri keterangan di Bukit Aman berhubung isu audio

Presiden PKR Anwar Ibrahim dijangka memberi keterangan kepada polis hari ini, berhubung rakaman audio yang didakwa merupakan perbualannya dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Peguamnya Sankara Naik mengesahkan perkara itu. Menurutnya, Anwar akan memberi keterangan di ibu pejabat polis di Bukit Aman.

“Berdasarkan surat yang dihantar kepada Anwar, dia disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Saya percaya siasatan berkenaan rakaman audio,” katanya.

Untuk rekod, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan adalah berkenaan kenyataan yang mungkin mendatangkan khianat awam.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, berkata beliau akan memberikan keterangan lengkap berhubung rakaman dikatakan perbualan antaranya dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, kalau pendakwaan dibuat terhadapnya.

“Mengapa isu seperti ini mahu dijadikan isu politik oleh kerajaan yang terdesak sangat sekarang?” katanya kepada pemberita selepas selesai lebih sejam memberi keterangan di Bukit Aman berhubung isu itu.

“Tetapi saya beri kerjasama dan saya beritahu kalau ada pendakwaan saya akan beri keterangan lengkap,” tambahnya.

Anwar yang dipanggil ke Bukit Aman pada pagi tadi memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Seksyen itu berkenaan kesalahan membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam, dengan niat hendak atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam atau kepada mana-mana golongan supaya seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam.

Presiden PKR itu berkata beliau tidak tahu apa-apa kes rasuah, ugutan, atau jenayah, dan “apa kaitan dengan kemelesetan ekonomi, kegawatan politik dan penyalahgunaan kuasa yang ada sekarang”.

“Soalnya saya tak tahu kes rasuah mana, kes ugutan mana, kes jenayah mana,” katanya.

Satu rakaman audio didakwa mirip suara Anwar dan Zahid didedahkan di media sosial, selepas selesai Perhimpunan Agung Umno 2020 pada awal bulan ini di mana parti itu mengesahkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, Anwar, dan DAP.

Anwar dan Zahid nafi perbualan berkenaan, yang dikatakan berlaku selepas perhimpunan itu.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata pihak berkuasa akan menyiasat rakaman yang dikaitkan dengan Anwar dan Zahid itu sekiranya menerima laporan.

Sementara itu, Anwar sempat meminta polis menyiasat rakaman didakwa perbualan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan perbualan Hamzah yang tular di media sosial.

“Audio itu lagi penting untuk disiasat,” katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/572333