Terima kasih Dr Mujahid, terbukti kerajaan serius angkat martabat peguam syarie

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Kabinet kerana bersetuju menggubal Rang Undang-udang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Presidennya, Musa Awang berkata, undang-undang yang bakal digubal kelak dapat mengangkat profesionalisme peguam syarie di negara ini.

Katanya lagi, di samping itu dapat membantu menyelesaikan masalah ketidakseragaman dan ketidakselarasan amalan undang-undang di antara negeri.

“Ia juga menjadi bukti bahawa kerajaan memberikan komitmen baik dan bersungguh-sungguh dalam memartabatkan institusi perundangan syariah dan profesion guaman syarie di negara ini.

“Kami berharap RUU berkenaan menjadi model bagi penyeragaman undang-undang profesion guaman syarie di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.