Terima banyak sumbangan luar bukti kerajaan tak gagal

Terima banyak sumbangan luar bukti kerajaan tak gagal

Pelbagai pengiktirafan dan sokongan diterima dari banyak negara luar membuktikan Malaysia bukan negara gagal seperti didakwa segelintir pihak. Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Malaysia turut menerima pelbagai sumbangan yang disalurkan sekutunya sebagai tanda penghargaan kepada negara.

“Jika benar kita negara gagal, saya tidak rasa kita akan diberi pengiktirafan dan penghargaan.

“Buktinya kita boleh lihat pelbagai sumbangan dari negara luar diberikan kepada Malaysia, terutama membabitkan sumbangan vaksin,” katanya.

sumbangan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perubatan COVID-19 daripada Arab Saudi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Hishammuddin berkata, Malaysia setakat ini sudah menerima sumbangan masing-masing sejuta dos vaksin daripada Amerika Syarikat (AS) dan Jepun serta 500,000 dos dari China.

Katanya, United Kingdom (UK) pula menyumbangkan 450,000 dos vaksin yang dijangka tiba Selasa ini.

“Hari ini suka saya umumkan kerajaan Arab Saudi akan menyumbangkan sejuta dos vaksin AstraZeneca kepada Malaysia,” katanya.

Malaysia turut menerima sumbangan 4.5 juta unit bekalan peralatan perubatan bernilai RM21.14 juta daripada kerajaan Arab Saudi.

Sumbangan diserahkan Mahmoud Hussien kepada Hishammuddin itu antaranya ialah pelitup muka, kelengkapan pelindung diri (PPE), bekalan oksigen dan katil elektrik.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, keprihatinan berterusan Raja Arab Saudi, Raja Salman terhadap Malaysia serta kesungguhan kerajaannya membuktikan tekad Arab Saudi untuk berjuang bersama Malaysia di era pandemik yang serba mencabar.

“Ini bukan kali pertama kerajaan Arab Saudi menghulurkan bantuan COVID-19 kepada Malaysia.

“Arab Saudi adalah antara negara terawal tampil menyalurkan sumbangan iaitu kira-kira lapan juta unit peralatan perubatan kepada Malaysia pada Mei tahun lalu,” katanya.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/845271/pelbagai-pengiktirafan-bukti-malaysia-bukan-negara-gagal

 

BACA JUGA : Panas !!! Warkah Agong kepada PM dilaporkan tular di media sosial