Terbukti ‘Derma Arab Saudi’ hanyalah rekaan Najib

Dakwaan Najib Razak bahawa RM42 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya adalah derma dari Arab Saudi merupakan rekaan semata-mata, kata Mahkamah Rayuan.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, berkata tiada bukti langsung bahawa wang berkenaan datang dari keluarga diraja Arab Saudi, malah tiada asas munasabah untuk Najib mempercayai perkara itu.

“Dana itu datang dari SRC dan itu memang telah disahkan,” kata Karim ketika mengekalkan sabitan pengubahan wang haram terhadap Najib oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Terbukti 'Derma Arab Saudi' hanyalah rekaan Najib

Mahkamah Rayuan mendapati pembelaan kononnya wang itu diterima daripada kerajaan Arab Saudi tidak dapat dipertahankan atas alasan sama dicapai hakim perbicaraan.

Satu daripada pembelaan yang telah dikemukakan Najib, adalah mendakwa RM42 juta itu sebahagian daripada derma berterusan dari Arab Saudi yang dimasukkan ke akaunnya sejak 2011.

Karim berkata, Najib mendakwa beliau menganggap dana dimasukkan ke akaunnya adalah “derma Arab” dan bagi menyokong dakwaannya itu, beliau merujuk kepada surat-surat yang dikemukakan sebagai bahan bukti, yang dikatakan ditulis oleh Putera Saud Abdulaziz Al-Saud bagi pihak kerajaan Arab Saudi.

“Bagaimanapun, pembuat surat itu tidak pernah dipanggil, malah kesahihan surat itu juga tidak disahkan ketika perbicaraan. Jadi, isi kandungan surat Arab Saudi itu masih kekal sebagai dengar cakap dan tidak boleh diterima,” katanya.

Karim berkata, hakim perbicaraan mempertimbangkan pembelaan itu secara terperinci sebelum menolaknya.

Beliau menganggap hakikat bahawa Najib mempercayai dana di dalam akaunnya adalah sumbangan dari Arab Saudi tidak boleh diterima, jika dibandingkan dengan keseluruhan bukti yang ada.

“Kami juga mendapati pembelaan derma dari Arab Saudi ini tidak dapat bertahan atas alasan sama seperti hakim perbicaraan,” kata Karim yang bersidang bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Karim berkata, bukti jelas menunjukkan bahawa dana itu berasal dari SRC dan berakhir dalam akaun peribadi Najib.

“Jika ia derma peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi kepada perayu, tiada sebab untuknya dideposit ke akaun SRC. SRC adalah syarikat berkaitan kerajaan dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan,” katanya.

Katanya, bukti menunjukkan bahawa dari 2014 hingga awal 2015, kira-kira RM136 juta telah digunakan oleh Najib, walaupun hanya mempercayai bahawa RM49 juta dimasukkan, mengikut dokumen yang dikatakan adalah surat keempat dari Arab Saudi.

“Kami bersetuju dengan pendakwaan bahawa keadaan berkaitan surat keempat itu jelas menunjukkan ia satu rekaan, dan perayu tidak mungkin percaya RM49 juta itu adalah dari keluarga diraja Arab Saudi,” katanya.

BACA JUGA : Terkini !!! Sah Najib salahguna kuasa dalam kes SRC International, kata mahkamah
Najib didapati bersalah, ini komen padu Tun M

Artikel ini disiarkan pada 08/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)