Tempahan rumah bot Tasik Kenyir kembali penuh

Tempahan rumah bot Tasik Kenyir kembali penuh

Tempahan rumah bot Tasik Kenyir kembali penuh.Pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir di sini kini boleh menarik nafas lega apabila tempahan kebanyakan rumah bot yang diusahakan mereka sudah penuh pada hujung minggu susulan pembukaan semula destinasi pelancongan berkenaan bermula semalam.

Keadaan itu juga membolehkan tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia itu kembali bernyawa dengan kemasukan pengunjung selepas hampir lima bulan ditutup akibat Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Square Kenyir Houseboat, Muhammad Farhan Abdullah, 36, berkata, kedua-dua rumah bot yang diusahakannya sudah ditempah pelanggan bermula Jumaat depan.

Katanya, hingga kini tempahan yang kosong hanya pada hari biasa sahaja sekali gus bersyukur dengan sambutan menggalakkan itu.

“Walaupun sektor pelancongan di Tasik Kenyir mula beroperasi hari ini tetapi sambutan masih lengang kerana aktiviti di sini lazimnya rancak pada hujung minggu.

“Tempahan yang diterima memang banyak cuma masalah yang kita hadapi ialah apabila ada kalangan ahli dalam rombongan itu yang belum cukup tempoh 14 hari vaksinasi Covid-19 di samping ada juga yang tidak lengkap dos hingga terpaksa ditunda ke tarikh lain,” katanya hari ini.

Tempahan

Menurut Muhammad Farhan, tawaran harga istimewa diberikan kepada pelanggan iaitu RM2,000 bagi penginapan semalam manakala dua malam pula RM3,700.

Sementara itu, pemilik Pak Ali Houseboat, Rusli Harun, 55, berkata, tempahan paling awal yang diterima ialah pada 10 September ini dan jika tiada sebarang perubahan, rumah bot itu boleh bergerak ke destinasi sebagaimana jadual asal.

Katanya, kesemua empat tempahan yang diterima merangkumi pakej dua hari satu malam di samping tiga hari dua malam.

“Jadual hujung minggu sudah penuh dengan tempahan walaupun ada yang masih belum pasti disebabkan faktor vaksin Covid-19 tetapi kita harap perancangan lancar.

“Kita berharap pelanggan dapat menikmati percutian dan aktiviti memancing yang menyeronokkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengusaha bot laju, Tengku Embat Tengku Ngah, 69, berharap kemasukan pengunjung ke Tasik Kenyir meningkat pada hujung minggu.

“Berbeza dengan rumah bot, pelanggan bot laju lazimnya datang secara walk in dan jarang membuat tempahan awal, jadi sebab itu saya belum menerima tempahan lagi buat masa ini,” katanya.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/berita/2021/09/rumah-bot-tasik-kenyir-penuh/

BACA: Kos baiki paip pecah di Terengganu bernilai RM2.5 juta, dijangka siap 12 September – Menteri