Tembak, sumbat dalam tong air dan tanam mayat isteri di ladang gara-gara tuntut cerai

Tembak, sumbat dalam tong air dan tanam mayat isteri di ladang gara-gara tuntut cerai

Gara-gara menuntut cerai secara fasakh, seorang wanita maut selepas dipercayai ditembak suaminya secara dekat, menggunakan senapang angin ketika sedang tidur di rumahnya di Taman Saujana, Kota Tinggi, Isnin lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam kejadian pada 2 pagi itu, berlaku perselisihan faham antara pasangan tersebut sebelum suspek berumur 43 tahun itu, menembak isterinya dan kemudiannya memasukkan mangsa ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar.

“Mayat isterinya berumur 38 tahun itu kemudiannya dibawa ke kawasan ladang di Bandar Penawar, iaitu kira-kira 10 kilometer jaraknya dari rumah untuk ditanam.

“Selain suspek yang bekerja sebagai pembawa jengkaut, turut ditahan rakan lelakinya berumur 32 tahun, untuk membantu siasatan.

“Pasangan yang sudah berkahwin lapan tahun itu mempunyai dua anak berumur tiga dan empat tahun. Kejadian berlaku ketika anak-anak mereka masih tidur. Dua anak mereka kini di bawah jagaan keluarga mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada jiran pasangan itu pada 1 Mac, yang menyatakan ternampak suami mangsa membawa tong air masuk ke dalam sebuah kereta kira-kira 4.30 pagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil siasatan mendapati suami mangsa mengaku membunuh isterinya dan dengan dipandu arah oleh suspek, mayat mangsa ditemui di kawasan ladang serai kira-kira 10.30 pagi, semalam.

Ayob Khan berkata proses bedah siasat mangsa masih berjalan di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru dan dua suspek itu direman enam hari bermula hari ini sehingga 10 Mac depan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

“Kes berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960, kerana selain memiliki satu senapang angin, suami mangsa turut mempunyai satu lagi senapang patah,” katanya sambil menambah suami mangsa mempunyai dua rekod jenayah iaitu mencederakan orang dan senjata api.

Pada Rabu lepas, tular di media sosial aplikasi WhatsApp yang mendakwa seorang wanita yang dilaporkan hilang pada 1 Mac lepas di Kota Tinggi telah meninggal dunia disyaki dibunuh suaminya, kerana cemburu.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/565453