Telefon cap ayam : lebih baik ada yang percuma daripada tiada, kata MB Perak

Telefon cap ayam : lebih baik ada yang percuma daripada tiada, kata MB Perak

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menegaskan bahawa telefon pintar yang diberi secara percuma oleh Yayasan YTL kepada pelajar bersesuaian untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan sudah berjaya membantu ribuan pelajar dalam kalangan B40.

Beliau demikian sebagai mengulas isu telefon pintar yang didakwa berkualiti rendah dan tidak memenuhi piawaian PdPR pelajar seperti yang tular di media sosial termasuk dibidas seorang Ahli Parlimen pembangkang baru-baru ini.

“Saya tidak pasti pula apa punca yang menyebabkan ada orang mempertikaikan sumbangan percuma ini. Ini sumbangan percuma oleh Yayasan YTL.

”Bila kita susah, orang sedekah apapun kita terima. Tiadalah nak demand.. Masa kita tengah susah ini orang bagi ikan sardin, jadi ikan sardinlah kita makan.. Tiadalah demand nak makan ayam pula.

”Jadi kita hendak memberitahu bahawa telefon pintar itu adalah diberikan secara percuma dan kami menerimanya dan telahpun mengedarkan kepada pelajar,” katanya pada sidang media secara maya di sini pada Rabu.

Saarani turut menasihati mereka yang membuat dakwaan itu untuk memandangnya secara positif khususnya dalam situasi pandemik COVID-19.

”Lebih baik ada daripada tiada, kalau tidak ada sumbangan Yayasan YTL ini bermakna ribuan anak-anak dari kalangan B40 tidak ada satu peranti pun untuk mereka ikuti PdPR.

”Dengan spesifikasi yang ada itu, mencukupi untuk mengikuti PdPR, jadi saya nasihatkan kepada anak-anak di sana ‘daripada tiada lebih baik ada’… gunakan apa yang ada, kemudian akan datang kemudahan lain insya-Allah.

“Saya sangat berterima kasih kepada YTL dan mengalu-mengalukan syarikat yang mahu berkolaborasi dan memberi sumbangan secara percuma kepada kerajaan negeri khususnya kepada orang miskin dalam apa jua bentuk bantuan,” katanya.

Sementara itu beliau turut mengulas apabila ditanya pemberita berkenaan dakwaan telefon pintar sama yang terbakar sehingga turut juga menjadi kecaman hebat pelbagai pihak di media sosial.

”Daripada 100,000 yang telah diedarkan di seluruh negara hanya satu yang (mungkin) terbakar, takkan itu kita hendak jadikan ia sebagai satu punca untuk kita membuat siasatan,” katanya.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/lebih-baik-ada-telefon-pintar-daripada-tiada-mb-perak-303453