Teka teki disebalik usul undi percaya terhadap Ismail Sabri

Ismail

Teka teki disebalik usul undi percaya terhadap Ismail Sabri.Ikut jadual asal, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bermula Isnin ini iaitu 6 September dan akan berlangsung hingga Khamis 30 September 2021. Ringkasnya sidang Parlimen bermula Isnin ini.

Pada sidang ini dipercayai satu usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan dibentang. Untuk mengabsahkan sokongan majoriti yang dimilikinya. Dalam lain perkataan, ini bagi membuktikan Perdana Menteri ada sokongan majoriti di Parlimen. Ini penting untuk mengelakkan keraguan yang akan mencetus krisis politik.

Undi percaya boleh diminta oleh Perdana Menteri sendiri secara umum berkaitan jawatannya tanpa merujuk Rang Undang-undang atau dasar. Begitu kata pakar Perlembagaan.

Di Malaysia amalan mendapatkan undi percaya dibuat ketika Perdana Menteri baharu mengambil jawatan tanpa melalui pilihan raya.

Pada 1976, undi percaya diminta untuk mengetahui Hussein Onn mendapat sokongan sebagai Perdana Menteri baharu selepas menggantikan Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia.

Undi percaya juga diperolehi pada 2003 untuk Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri ke-5 yang menggantikan Mahathir Mohamad. Hussein dan Abdullah kedua-dua mendapat undi percaya masing-masing.

Namun usul undi percaya tidak dibentang untuk membuktikan sokongan kepada Muhyiddin Yassin ketika beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri melalui Langkah Sheraton Februari 2020. Lantas pemerintahan beliau dilanda kontroversi berterusan sehingga detik beliau meletak jawatan 16 Ogos lalu.

Pada 20 Disember 2020, Menteri Besar Perak ketika itu, Ahmad Faizal Azumu, gagal memperolehi sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak.

 undi

Seperti kita tahu, Faizal terpaksa melepaskan jawatan dan pentadbirannya turut tumbang. Namun yang ‘menarik’ (jika ini perkataan yang sesuai untuk digunakan) ialah usul percaya itu dikemukakan oleh ADUN dari BN – lebih tepat Umno yang ketika itu duduk dalam kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Faizal.

Ketika itu, Umno sedang ‘bersengketa’ dengan Bersatu, parti Faizal. Pemerhati, penganalis, malah orang politik menyifatkan usul undi percaya berkenaan taktik Umno jatuhkan Faizal.

Yang jelas, undi percaya sama dengan undi tidak percaya. Hakikatnya, kedua-dua usul menguji keabsahan seseorang Perdana Menteri, Menteri Besar, atau Ketua Menteri. Kedua-duanya boleh menyaksikan mereka terpaksa meletak jawatan.

Dalam undi percaya yang diuji perlu memenangi usul itu. Menang bermakna kekal jawatan. Kalah, letak jawatan. Dalam usul undi tidak percaya yang diuji mesti menewaskan usul berkenaan. Tewaskan usul bererti kekal jawatan. Gagal tewaskan lepaskan jawatan.

Usul undi tidak percaya lazimnya dibawa oleh pembangkang. Tidak apa yang memeranjatkan. Tentulah pembangkang tidak percaya ketua kerajaan.

Takrif undi tidak percaya menurut Wikipedia ialah: satu penyataan atau undi yang menyatakan bahawa seseorang dalam kedudukan tanggungjawab yakni kerajaan, pengurusan, atau lain-lain tidak lagi dianggap sesuai untuk memegang jawatan tersebut, termasuk disebabkan tidak layak dalam hal tertentu, gagal melaksanakan kewajiban atau membuat keputusan yang merugikan.

Dalam Parlimen ia merujuk kepada kehilangan keyakinan (satu atau lebih anggota) terhadap ketua negara yang dilantik. Cukup jelas.

Tetapi bagi usul percaya – ia boleh atau biasanya dibawa oleh kawan. Mungkin kerana benar-benar mahu membuktikan ketua mereka punya sokongan. Namun mungkin juga untuk “membuktikan” sebaliknya. Sokong bawa rebah. Atau ada niat menjatuhkan berselindung di sebalik “sokong”. Seperti yang berlaku ke atas Faizal di Perak pada 2020.

Semasa Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan Ismail dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9, baginda yakin Ismail mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen. Pun begitu baginda menitahkan supaya undi percaya dibuat di Parlimen.

Lalu pelbagai pihak (termasuk saya) percaya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri akan dibentangkan pada sidang Parlimen yang dijadual bermula Isnin ini. Kepercayaan kami timbul berdasarkan titah Agong.

Namun seperti yang kita tahu sidang Parlimen sudah ditunda. Penangguhan dimaklumkan kepada semua Ahli Parlimen menerusi surat makluman Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin.

Menurut surat itu sidang Parlimen akan diadakan pada Isnin 13 September hingga Khamis 12 Oktober 2021. Sebab penangguhan tidak diberitahu.

Bagaimana pun menurut Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berdasarkan surat makluman itu, tidak dinyatakan aturan mesyuarat berhubung undi percaya “yang sepatutnya dibawa semasa persidangan kali ini”. Maksudnya usul undi percaya tidak ada dalam aturan persidangan.

Kalau apa yang tidak terkandung dalam surat itu boleh dipercayai, usul percaya terhadap Perdana Menteri tidak akan dibentang pada sidang Parlimen akan datang, walaupun ramai percaya usul percaya itu akan dibentang.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang penjelasan daripada Pejabat Perdana Menteri mahupun pejabat Yang Di-Pertua Dewan Rakyat mengenai ‘nasib’ usul percaya yang dimaksudkan.

Sebaliknya, ada perbezaan pendirian mengenai keperluan usul itu sendiri. Pemimpin Pakatan Harapan termasuk Kit Siang mahukan undi percaya kepada Ismail dijadikan aturcara pertama Dewan Rakyat pada 14 Sept. Pemimpin DAP itu berkata usul itu amat penting apabila mengambil kira situasi politik yang menyelubungi perlantikan Ismail sebagai perdana menteri.

Namun pembangkang lain, seperti Dr Mahathir Mohamad, tidak mahu usul itu dibentangkan kerana, menurut beliau, “kita tak nak tukar sekali lagi Perdana Menteri”.

“Kalau ke Parlimen, dia (Ismail) tak dapat majoriti, (Perdana Menteri) kena tukar lain dan dunia ketawakan kita,” katanya.

Bermakna bekas perdana menteri itu bimbang ada risiko Ismail tidak dapat sokongan mencukupi untuk memperoleh undi percaya terhadapnya.

Soal menang kalah undi percaya itu penting tetapi bukan pokok. Paling penting ialah usul undi percaya itu dititah oleh Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda mahukan Ismail “secepat mungkin” mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi mengabsahkan jawatan beliau. Tidak ada kekeliruan dalam titah baginda 18 Ogos lalu. Titah Tuanku jelas, sejelas, jelasnya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2021/09/04/kesangsian-di-sebalik-usul-percaya-ismail/

BACA: Negeri Sembilan optimis beralih ke fasa 4 dalam masa terdekat