Teguran sayang buat pemimpin PH

1.Kekalahan Pakatan Harapan di Cameron Highland menarik minat rakyat Malaysia akan perubahan geo-politik di negara ini. Pihak pembangkang berusaha keras mengekalkan kerusi miliknya manakala Kerajaan Pakatan Harapan cuba sehabis mungkin menembusi kerusi tradisi milik BN tersebut.
.
2.Kemenangan yang berpihak kepada percantuman PAS dan BN diwakili Ramli Mohd Nor (12,038 undi) dengan majoriti 3,238 undian, menewaskan calon Kerajaan Pakatan Harapan, M.Manogaran yang memperoleh undi sebanyak 8,800. Bakinya undian pula diperoleh calon Bebas iaitu Sallehudin Abd Talib (314 undian) dan Wong Seng Yee (276 undi).
.
3.Walaupun Pakatan Harapan mengalami kekalahan di Cameron Highland, ini ialah peluang yang sangat baik untuk kita bermuhasabah. Bagaimana kita yang memegang tampuk kerajaan, mempunyai kepayahan untuk menyampaikan maklumat dan perubahan yang telah kita laksanakan sehingga ke ceruk-ceruk kampong orang asli.
.
4.Bukan itu sahaja, rakyat di bandar mahupun yang mempunyai akses internet pun mempunyai maklumat yang sangat rendah tentang kerajaan hari ini. Malah yang sering dipaparkan sama ada di media cetak atau media sosial ialah kesilapan tutur kata menteri mahupun wakil rakyat dari Pakatan Harapan.
.
5.Walaupun perit untuk diakui, itulah yang sedang berlaku di dalam kerajaan hari ini. Sehinggakan rakyat ada yang merasakan semakin tertekan di bawah Pakatan Harapan lebih-lebih lagi dari kalangan orang Bumiputera dan juga yang beragama Islam.
.
6.Pemuda Pakatan Harapan Jasin melihat perkara ini sangat perlu untuk dibuat perubahan supaya tidak menjadi asbab kepada keruntuhan perubahan yang telah dibuat dengan susah payah setelah 60 tahun.
.
7.Oleh itu, Pemuda PH Jasin ingin melontarkan cadangan dan kritikan kepada pihak kerajaan, supaya kita bersama-sama menambah baik pentadbiran serta tatacara kerja agar kita dapat menawan kemenangan yang lebih besar pada Masa Akan datang.
.
8 CADANGAN PEMUDA PAKATAN HARAPAN JASIN.
.
(i)ACTION TALKS LOUDER THAN WORDS
.
Kepada ADUN, MP mahupun Menteri, tindakan lebih berkesan dari percakapan. Terlalu banyak berkata-kata tanpa tindakan yang rakyat boleh lihat hanya mengundang padah. Contohilah rakan-rakan pimimpin kalian yang progresif dalam kerja tapi kurang dalam memberi ulasan seperti YBM Datuk Dr.Dzulkefly Ahmad dan YBM Anthony Loke dll.
.
(ii)JANGAN MENGULAS PERKARA DI LUAR PORTFOLIO
.
Kepada para pemimpin terutama menteri, tidak usahlah kalian mengulas perkara yang di luar portfolio anda jika hanya membuatkan rakyat menjadi terpinga-pinga. Teruskan memberi bakti kepada tugas anda dan biarkan rakyat merasai perubahan tersebut.
.
(iii)BERHENTI MENYENTUH PERIHAL BUMIPUTRA & AGAMA ISLAM
.
Kerajaan Pakatan Harapan dilihat tidak mesra Bumiputra dan juga agama Islam. Ini berikutan adanya pemimpin di atas yang kerap kali ‘tersilap kenyataan’ mereka dan menyinggung perasaan majoriti penduduk Malaysia. Jagalah percakapan anda dan tatabicara. Janganlah kalian menjadi punca rakyat menolak Pakatan Harapan. Bumiputera dan masyarakat beragama Islam ialah majority di Malaysia.
.
(iv) HARGAI AHLI DI BAWAH
.
Berikan penghargaan kepada ahli di bawah yang mendokong dan menyokong kalian. Lebih-lebih lagi yang bermula dengan saat-saat susah bersama. Berikan mereka ruang dan peluang untuk bersemuka dengan pemimpin yang sebelum ini tiada protokol, bagi mendengar hasrat hati mereka dan apa pandangan mereka untuk kemajuan negara.
.
(v)SEDIAKAN TEMPAT BUAT MEREKA
.
Untuk mereka yang sudah bekerja keras membantu PAKATAN HARAPAN, berikanlah mereka tempat yang sesuai untuk mereka membantu melicinkan kerja-kerja memberi bakti kepada rakyat di bawah. Hatta sekadar kerani di Pejabat Khidmat ADUN mahupun ‘office boy’ di syarikat GLC, sudah tentu mereka rasa bersungguh-sungguh untuk membantu, daripada mengambil mereka yang terang-terang timbul selepas menang tapi mahukan jawatan politik, apatah lagi mengekalkan mereka di dalam jawatan politik sedia dia. Ini lebih teruk!.
.
(vi)JANGAN DIIKUT RENTAK PEMBANGKANG
.
Pemimpin Pakatan Harapan jangan terikut-ikut budaya TROLL pembangkang yang dibawa oleh bekas perdana menteri tapi bertindaklah dengan gaya anda sebagai seorang pemimpin yang disegani. Beri kenyataan dengan pintar dan tegas tanpa perlu ada kelompongan untuk diserang. Buang juga gaya kalian sebagai pembangkang dan bertindak menyelesaikan hal rakyat dengan membentangkan perancangan.
.
(vii)WUJUDKAN UNIT MEDIA PAKATAN HARAPAN
.
Wujudkanlah unit media pakatan harapan sebagai ejen penerangan di media massa dan media sosial supaya mudah rakyat Malaysia menerima perkembangan terbaharu dari kerajaan. Termasuklah juga sebagai menjawab persoalan-persoalan yang yang bertubi-tubi keluar dari media setiap hari. Ini berikutan untuk kita bergantung kepada media cetak dan media massa yang sedia ada adalah terlalu lambat serta banyak yang’misleading’ sehinggakan majoriti rakyat Malaysia terpengaruh akannya.
.
(viii)TERUS BEKERJA DEMI RAKYAT!
Kalian pemimpin, teruskan bekerja dengan tatacara kerja yang betul. Rakyat pasti akan sokong kerana rakyat sudah inginkan perubahan.Mereka sudah tidak mahu lagi bersama BN.Buktinya pada PRU 14 yang lalu.
.
8. Itulah 8 CADANGAN PEMUDA PAKATAN HARAPAN JASIN kepada para pemimpin kami. Bukan niat di hati kami untuk membenci pemimpin kami sendiri, tapi kerana sayangkan pemimpin, pakatan Harapan dan juga rakyat, perlunya dikritik dan cadangan penambahbaikan disamping bersama-sama bekerja supaya kita mampu berjuang dengan lebih baik untuk masyarakat Malaysia.
.
9.Kita bukannya Barisan Nasional mahupun Gagasan Sejahtera yang ketar kakinya untuk menegur para pemimpin, tapi kita ialah PAKATAN HARAPAN. Kami akan terus menyokong ideologi pemimpin kami yang mulia dan benar, serta akan menegur jika salah salah silap. Ayuh kita memperkemaskan barisan dan tunjukkan kita yang terbaik apatah lagi PRK DUN Semenyih akan menjelang tiba tidak lama lagi.
.
10. Salam sayang buat para pemimpin kami yang disayangi. Pemimpin mulia kami julang, pemimpin tersilap kami nasihati,yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing.Sayang semua.
.
Ustaz Muhammad Bin Kamal
Ketua Pemuda Pakatan Harapan Jasin
Exco Pemuda Amanah Jasin