Tebuk roti untuk seludup bahan terlarang di Pusat Kuarantin

Tebuk roti untuk seludup bahan terlarang di Pusat Kuarantin

Tidak ubah seperti penyeludup profesional apabila ada antara rokok dirampas ditemui disembunyikan dalam kepingan roti ‘tebuk’.

Malah, ada juga kotak rokok yang atau peranti rokok elektrik (vape) disorokkan di dalam bungkusan mi segera dan kotak makanan bijirin.

Itu antara taktik penyeludupan bahan terlarang yang dihantar ahli keluarga kepada pesakit yang dikuarantin serta menerima rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang di sini.

Mendedahkan perkara itu, Pegawai Pemerintah PKRC Maeps Serdang, Superintendan Norhizam Bahaman berkata, pihaknya mengesan pelbagai taktik dilakukan waris dan ahli keluarga pesakit Covid-19 yang cuba menghantar rokok dan vape menggunakan pelbagai taktik licik.

Menurutnya, anggota polis yang bertugas di pintu masuk Maeps sememangnya diarahkan melakukan pemeriksaan rapi terhadap semua bungkusan atau beg yang mahu dikirimkan kepada pesakit Covid-19.

roti

“Sebelum ini polis sememangnya memberikan kelonggaran kepada waris untuk menghantar makanan, ubat-ubatan atau alat telekomunikasi kepada pesakit dirawat.

“Rata-rata mereka ini menyedari bahawa menghisap rokok atau vape dilarang sama sekali di dalam Maeps terutama dalam kalangan pesakit.

“Ia susulan analisis Kementerian Kesihatan mendapati jumlah kes kematian disebabkan Covid-19 kepada individu yang merokok lebih tinggi berbanding bukan perokok iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus.

“Malah, Covid-19 adalah penyakit berjangkit yang menyerang terutamanya paru-paru. Maka merokok boleh merosakkan fungsi paru-paru yang menjadi sasaran virus Covid-19,” katanya.

Norhizam berkata, terbaru pihaknya mengesan cubaan menyeludup beberapa kotak rokok yang disembunyikan di dalam roti dihantar seorang waris pada jam 7.15 malam kelmarin.

“Malah, sehari sebelum itu, kami turut merampas rokok daun dan tembakau yang turut disembunyikan di dalam kepingan roti yang ditebuk.

“Kegiatan penyeludupan ini makin menjadi-jadi apabila anggota saya turut merampas lima kotak rokok yang disembunyikan dalam bungkusan roti pada jam 3.15 petang kelmarin,” katanya.

Beliau berkata, ada juga alat vape dirampas selepas disembunyikan dalam bungkusan mi segera, kotak makanan bijirin dan tabung keropok kentang.

“Biasanya pesakit di dalam Maeps akan menghubungi ahli keluarga dan meminta supaya rokok ini dihantar kepada mereka dengan pelbagai taktik penyeludupan kreatif.

“Saya beri amaran kepada mereka (waris) supaya tidak mengulangi perbuatan itu lagi. Majoriti kesalahan ini dilakukan oleh waris pesakit warga tempatan berbanding pesakit bukan warganegara,” katanya yang mula bertugas di Maeps sejak November tahun lalu.

Menurutnya, pihak polis yang bertugas di Maeps turut melakukan pemeriksaan mengejut ke dalam dewan kuarantin bagi memastikan rokok tidak dibawa masuk atau diseludup.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/726164/sindiket-roti-tebuk

BACA JUGA : Sudah tiba masanya kluster menteri dalam Umno masuk Bersatu