Taufan Ida : Penduduk diarah selamatkan diri masing-masing

Taufan Ida

Taufan Ida : Penduduk diarah selamatkan diri masing-masing.Taufan Ida kategori empat yang dijangka membawa ribut pada tahap sangat bahaya dijangka melanda kawasan selatan Amerika Syarikat (AS), esok.

Susulan itu, penduduk di kawasan berisiko tinggi di Louisiana dilaporkan mula meninggalkan kediaman masing-masing dan dilihat berbaris membeli barangan keperluan mulai semalam.

Perkhidmatan Cuaca Nasional AS meramalkan ribut yang mengancam nyawa apabila taufan itu dijangka membadai kawasan pantai di Louisiana dan Mississippi serta mengeluarkan amaran kerosakan dahsyat dan menggesa mereka yang berada di daerah terjejas untuk sentiasa patuh pada arahan pihak berkuasa tempatan.

“Kita harus bertindak sekarang kerana Taufan Ida diramal akan membadai pada kategori empat,” kata Perkhidmatan Cuaca Nasional AS cawangan New Orleans dalam ciapan di Twitter.

Tahap bahaya dikeluarkan itu ialah kedua tertinggi melalui skala angin taufan Saffir-Simpson dengan kekuatan angin minimum selaju 290 kilometer sejam (km/j).

Taufan Ida

Louisiana sudah mengisytiharkan keadaan darurat sebagai persediaan keadaan bencana itu yang dijangka berlaku esok, 16 tahun selepas Taufan Katrina pertama kali membadai negara itu yang menenggelamkan 80 peratus New Orleans sebelum meragut nyawa lebih 1,800 mangsa.

Pihak berkuasa sudah mengeluarkan arahan wajib berpindah kepada penduduk di luar kawasan terlindung di New Orleans dan bandar yang terdedah kepada banjir seperti Grand Isle.

Ketua Polis Grand Isle, Scooter Resweber, mengesahkan penduduk mula mengemas pakaian dan meninggalkan kediaman masing-masing.

“Kita tahu ia akan menjadi bencana yang besar,” katanya kepada media tempatan.

Melalui pengisytiharaan darurat itu yang diluluskan Presiden Joe Biden, dana tambahan persekutuan bagi bantuan akan disalurkan kepada negeri terjejas bagi meningkatkan usaha kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasannya.

Taufan itu mula membadai lewat Jumaat lalu di kawasan Barat Cuba pada kategori satu dengan angin selaju 128 km/j direkodkan.

Taufan Ida membadai wilayah Pinar del Rio, Cuba iaitu pusat wabak COVID-19 di pulau itu dengan lebih 10,000 penduduk dipindahkan

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/08/857079/pantai-selatan-bersedia-hadapi-bahaya-taufan-ida

BACA: Ismail Sabri pulang ke kampung halaman ziarahi pusara ibu bapa