Tarik diri dari kerajaan PN, ini keputusan sebenar PAU

Tarik diri dari kerajaan PN, ini keputusan sebenar PAU

Tarikh tarik diri dari kerajaan PN, Pemuda Umno dedah keputusan sebenar PAU

Desakan Supaya Parlimen Bersidang Dalam Tempoh 14 hari

1. Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau amat kecewa dengan tindakan dan kenyataan Y.B Dato’ Seri Shahidan bin Kassim, Ketua UMNO Bahagian Arau, yang berterusan menyerang Presiden parti.

2. Pergerakan ini berpendapat desakan Biro Politik UMNO supaya notis persidangan Parlimen dikeluarkan dalam tempoh 14 hari adalah munasabah dan tidak menyalahi mana-mana peraturan; jika dibandingkan dengan begitu banyak peraturan dan undang-undang yang telah dilanggari dengan sesuka-hati oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin.

tarik diri dari kerajaan

3. Walaubagaimanapun, sekiranya Dato’ Seri Shahidan berpendapat perlunya tempoh 28 hari, beritahulah dan desaklah Tan Sri Mahiaddin untuk membuka Parlimen dalam tempoh tersebut. Untuk apa hendak mencari-cari kesalahan dan memutar-belit maksud yang ingin disampaikan oleh Presiden sendiri sedangkan isu sebenar adalah soal “kesegeraan” untuk Parlimen bersidang sebagaimana dititahkan oleh Yang DiPertuan Agong.

4. Perlukah diperingatkan bahawa apabila kerajaan Tan Sri Mahiaddin membatalkan sidang Parlimen susulan proklamasi darurat Covid-19 pada bulan Januari 2021, YDP Agong telah bertitah pada 24 Februari 2021 bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat. Apabila titah Baginda tidak diendahkan oleh kerajaan Tan Sri Mahiaddin, YDP Agong memberi penekanan sekali lagi pada 16 Jun yang lalu agar sidang Parlimen disegerakan.

5. Di dalam sidang media beliau, Dato’ Seri Shahidan Kassim dilihat cuba melepaskan geram kepada Presiden UMNO disebabkan agenda penambahbaikan struktur kepimpinan dalaman parti yang direncanakan oleh Presiden UMNO telah mengakibatkan jawatan beliau yang selama mengetuai UMNO dan Barisan Nasional negeri Perlis terpaksa diserahkan kepada Menteri Besar Perlis.

6. Nada tidak puas hati itu telah menyebabkan beliau melalut-lalut hingga mengaitkan soal kerjasama UMNO dalam Perikatan Nasional sebagaimana diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO; serta membangkitkan isu berkaitan hubungan Presiden UMNO dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

7. Titah YDP Agong adalah supaya Parlimen segera bersidang! Dan, tentunya YDP Agong telah mempertimbangkan segala sudut dengan penuh kebijaksanaan Baginda sebelum mengeluarkan titah berkenaan. Oleh yang demikian, soal-soal lain adalah tidak berbangkit dan tidak perlu dibangkitkan sama sekali dalam urusan menyegerakan sidang Parlimen.
—–
Isu 2: Kerjasama Dengan Perikatan Nasional

8. Di dalam sidang media yang sama, Dato’ Seri Shahidan telah berbohong kononnya Perhimpunan Agung UMNO yang bersidang pada 28 Mac 2021 telah memutuskan bahawa UMNO akan meneruskan kerjasama dalam Perikatan Nasional sehingga pilihanraya.

9. Pembohongan dengan fakta yang tunggang-langgang sebegini oleh seorang pemimpin senior dalam UMNO boleh menimbulkan kekeliruan dikalangan pimpinan, ahli-ahli dan penyokong UMNO di peringkat akar-umbi.

10. Keputusan sebenar yang dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu adalah dizahirkan dan diterima secara sebulat-suara melalui pengesahan Pengerusi Tetap ketika ucapan penggulungan Presiden UMNO sebagaimana berikut:

Presiden UMNO: Sidang Perwakilan, sekali lagi kalau kita bersetuju dengan cadangan daripada Pengerusi-Pengerusi Perhubungan yang jadi jurucakap untuk memberikan mandat kepada saya dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi untuk menentukan jeda atau timeline untuk kita menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional, saya minta bangun memperlihatkan sokongan.
Pengerusi Tetap: Setuju atau tidak?

Perwakilan (di dalam dewan): (Bangun dan angkat tangan secara sebulat suara. Tanpa bantahan)

Pengerusi Tetap: Yang bersidang secara maya, setuju atau tidak?

Perwakilan (bersidang secara maya): (Setuju sebulat-suara. Tanpa bantahan)

11. Dimana yang disebut “UMNO akan meneruskan kerjasama dalam Perikatan Nasional sehingga pilihanraya” sebagaimana yang dibangkitkan oleh Dato’ Seri Shahidan?

12. Walaupun Pergerakan ini amat memahami dan bersimpati dengan emosi beliau yang agak terganggu selepas di’boo’ oleh para Perwakilan semasa berucap, tetapi beliau mempunyai masa yang cukup panjang untuk mendengar kembali dan menyelidiki fakta, ketetapan dan keputusan yang telah diputuskan di dalam Perhimpunan Agung tersebut.

—–
Isu 3: Berkaitan Hubungan Presiden UMNO Dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim

13. Di dalam sidang media yang sama, Dato’ Seri Shahidan turut mebangkitkan soal “No Anwar, No DAP” yang turut menjadi sebahagian intipati ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Mac yang lalu.

14. Namun begitu, apa tujuan beliau untuk tidak menyebut keseluruhan tagline tersebut? Kenapa sengaja ditinggalkan “No PPBM”?

15. Apa yang sebenarnya diucapkan oleh Presiden UMNO adalah mengulangi pendirian Majlis Tertinggi UMNO bahawa “No DAP, No Anwar, No PPBM” dalam usaha membentuk kerjasama untuk mendepani Pilihanraya Umum ke-15.

16. Berkenaan dengan hubungan peribadi yang merentasi sempadan parti diantara pemimpin-pemimpin di peringkat pusat, Pergerakan ini tidak melihat sebarang masalah sekiranya Presiden UMNO (atau mana-mana pemimpin dan ahli parti) berkomunikasi melalui apa-apa kaedah dengan pemimpin parti lain. Malah, hubungan silaturrahim memang seharusnya dijaga dan UMNO tidak pernah menyuruh ahli-ahlinya untuk berseteru dan bergaduh sepanjang masa dengan pihak lain.

17. Pokok pangkalnya, sekiranya keputusan “No DAP, No Anwar, No PPBM” hendak diubah secara rasmi, ianya perlulah sekurang-kurangnya mendapat mandat dan persetujuan di peringkat Majlis Tertinggi. Sehingga perkara itu dikemukakan kepada Majlis Tertinggi, adalah tidak wajar untuk pemimpin-pemimpin parti berpolemik secara berlebihan yang menimbulkan ketegangan dan krisis dalam parti.

18. Ketika era 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan, Dato’ Seri Shahidan adalah antara watak yang sering bertemu dan berurusan secara diam-diam dengan pembesar-pembesar Pakatan Harapan tanpa bertanya pandangan atau memohon kebenaran parti. Kepentingan diri dan usaha mengaut keuntungan peribadi diletak di hadapan sehingga membelakangi kepentingan dan maruah parti.

19. Jika pemimpin lain boleh berlenggang-lenggok mencatur gerakan politik masing-masing, adalah tidak adil dan tidak wajar Presiden parti diikat sekuat-kuatnya daripada bergerak merencana strategi yang difikirkan sesuai untuk beliau mengembalikan kegemilangan UMNO sebagaimana dihasratkan.

20. Kesimpulannya, Pergerakan ini menyeru supaya Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen kami, YB Dato’ Seri Shahidan bin Kassim, untuk bermuhasabah dan berhenti daripada menyerang serta memburukkan institusi Presiden UMNO sehingga menimbulkan kekeliruan dikalangan pimpinan dan ahli-ahli di akar umbi. Atau, silalah lompat keluar daripada UMNO tanpa berdolak-dalih lagi untuk menyertai pihak yang dirasakan sentiasa betul segala tingkah-laku mereka.

tarik diri dari kerajaan

tarik diri dari kerajaan

tarik diri dari kerajaan PN

Sumber: