Tapak pengebumian mangsa Covid-19 kecoh dengan pergaduhan

Tapak pengebumian mangsa Covid-19 kecoh dengan pergaduhan

Tapak pengebumian mangsa Covid-19 kecoh dengan pergaduhan.

Satu rakaman video pertelingkahan antara sekumpulan sukarelawan pengurusan jenazah dengan beberapa kakitangan pejabat kesihatan daerah (PKD) di sebuah tapak pengebumian di Klang tular di media sosial sejak semalam.

Tangkap layar video pertelingkahan antara sukarelawan pengurusan jenazah dengan beberapa staf PKD yang tular di media sosial sejak semalam.

Berdasarkan rakaman video berdurasi kira-kira 10 minit itu, sukarelawan pengurusan jenazah terbabit didapati tidak berpuas hati kerana hanya seorang kakitangan PKD di tapak pengebumian itu didakwa membantu mereka mengebumikan jenazah kes Covid-19.

Pertelingkahan itu dipercayai berlaku di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah.

Dalam insiden itu, sukarelawan terbabit terlebih dahulu dilihat menghampiri dan menegur beberapa kakitangan PKD yang sedang duduk di sebuah pondok di tapak pengebumian tersebut.

Mereka mempersoalkan mengapa kakitangan PKD terbabit tidak membantu mereka menguruskan jenazah kes Covid-19 tersebut kerana itu merupakan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Salah seorang kakitangan PKD menjawab mereka telah menyembur cecair sanitasi ke atas jenazah itu dan mengingatkan sukarelawan itu supaya “masuk tempat orang ikut cara orang” lalu berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

Dua kakitangan PKD lain dilihat cuba mententeramkan keadaan selepas pergaduhan nyaris tercetus.

Rata-rata netizen yang menonton rakaman video kekecohan itu menzahirkan rasa kecewa kerana berpandangan kejadian itu tidak sepatutnya berlaku semasa kerja-kerja pengebumian.

“Sedih tengok video ini. Sepatutnya kita sesama Islam saling bantu membantu. Faham semua orang penat kerana kes kematian tidak berhenti-henti.

“PKD sepatutnya bersyukur ada pasukan (sukarelawan) lain membantu. Pasukan itu buat sebab ikhlas membantu meringankan beban,” kata pemilik akaun Facebook Edya Mohd. Ismail.

Pengguna Facebook Norhaslinda Zakaria pula berkata, semua pihak dalam keletihan fizikal dan mental berdepan pandemik Covid-19 yang seolah-olah tidak lagi terkawal.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/07/11/kecoh-di-tapak-pengebumian-jenazah-kes-covid-19/

BACA JUGA : ‘Nampak macam kosong’, Dr Hisham ulas isu picagari vaksin ‘kosong’