Tanpa struktur gerak kerja, Duta RAHMAH hampir tidak berfungsi

Duta RAHMAH tidak seharusnya dipersalahkan apabila wujudnya pihak-pihak yang mempersoalkan peranan mereka yang dikatakan ‘pasif’ dalam menyebarkan agenda Rahmatan lil Alamin.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ustaz Ridzwan Abu Bakar, berkata, kegagalan Duta RAHMAH bergerak memainkan peranan adalah disebabkan kepincangan pengurusan dalam merangka gerak kerja bagi Duta yang dilantik.

Malah katanya, selain tiada penerangan struktur gerak kerja kepada hampir 200 Duta RAHMAH yang dilantik, ketiadaan badan pemantau juga menyebabkan kemungkinan peranan Duta itu sendiri dilihat hampir tidak berfungsi.

“Duta RAHMAH ini adalah satu pemberitahuan umum untuk membawa agenda Rahmatan Lil Alamin. Namun, tiada gerak kerja spesifik dan dia tak susun kena buat sesuatu perkara.

“Lagi sukarkan keadaan, apabila sebenarnya tak ada pemantauan dari Pejabat Menteri (Agama). Apa yang terjadi ialah, lepas lantik, mereka tinggal terus.

“Dan pihak-pihak tertentu tak seharusnya menyalahkan sepenuhnya pada Duta RAHMAH, sedangkan gerak kerja dan isu pengurusan sendiri tidak lengkap,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Ridzwan yang juga dilantik sebagai Duta RAHMAH, turut menegaskan bahawa Pejabat Menteri Agama seharusnya meneliti struktur tugas Duta lantikan.

Beliau berkata, ianya perlu bagi memaksimakan peranan Duta itu sendiri agar gagasan yang diperkenal kerajaan sampai ke peringkat akar umbi.

Terdahulu, Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang mendakwa seramai 200 Duta RAHMAH yang dilantik awal tahun ini, dilihat pasif dalam memainkan peranan menyebar gagasan yang diperkenal kerajaan.

Beliau dalam temubual Mingguan Amanah baru-baru ini berkata, wujud beberapa Duta RAHMAH yang gagal berperanan membawa agenda Rahmatan Lil Alamin, selain masih ada yang menghentam kerajaan termasuk Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Tambah membantutkan pergerakan gagasan berkenaan, Ustaz Ahmad berkata, faktor kebebasan penceramah Pas yang menguasai masjid-masjid juga dirasakan punca Rahmatan Lil Alamin dipandang serong.

“Di negeri diperintah PH, saya diberi maklumat di mana hampir sebahagian atau sepertiga masjid di Kedah, program agamanya masih dikawal oleh orang Pas.

“Inilah kelemahan kita. Masjid dikawal oleh Pas dan kita tidak pantau, itu yang wujud tanggapan serong,” katanya.

Ridzwan selanjutnya menjelaskan bahawa Duta RAHMAH bukanlah satu jawatan, sebaliknya satu lantikan umum yang ditauliahkan melalui sijil dari Pejabat Menteri dan tauliah sebagai pengajar dari Wilayah Persekutuan.

Pengarah Pembangunan Sumber Manusia Negeri Kedah itu berkata, lantikan Duta RAHMAH mewakili Kedah hanyalah dua orang yang akhirnya mengakibatkan penyebaran gagasan kerajaan kurang berkesan.

“Kalau nak tanya tentang keberkesanan di Kedah, boleh dikatakan hampir tiada sebab di sini hanya ada dua orang sahaja. Jadi, kenyataan Ustaz Ahmad Awang itu tidak boleh dibulatkan dalam konteks Kedah.

“Kerana itu saya tekankan, pihak Pejabat Menteri perlu gerakkan kesemua Duta ini dengan kaedah yang lebih tepat.

“Sebenarnya apa yang diperlukan adalah latihan dan pengaturcaraan kepada Duta RAHMAH.

“Kalau struktur kerja ini disusun dengan cara yang betul, maka Duta RAHMAH boleh dikomersialkan dan dia boleh keluar betul-betul atas nama Duta RAHMAH dari masa ke semasa,” jelas Ustaz Ridzwan lagi.

Simposium Duta Rahmah anjuran Akademi NUNJI pada 1 Disember lalu menumpukan pada pemerkasaan penglibatan Duta Rahmah bersama media khususnya televisyen.

 

Berita Asal https://malaysiadateline.com/tanpa-struktur-gerak-kerja-duta-rahmah-hampir-tidak-berfungsi/