Tampar mangsa, minta seks oral : Pengarah agensi kerajaan dibebaskan dengan jaminan polis

Seorang pengarah sebuah agensi kerajaan di Selangor yang ditahan selepas didakwa mencabul kakitangan wanita sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata lelaki berusia 35 tahun terbabit ditahan semalam susulan laporan polis yang dibuat mangsa.

“Lelaki itu diberi jaminan polis sebaik selesai siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat,” katanya hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Media semalam melaporkan suspek yang dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kejadian ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, jam 9 pagi.

Kejadian dipercayai jam 2 pagi Selasa lalu ketika mangsa berusia 29 tahun berada di pejabat selepas selesai urusan kerja.

Sumber dilaporkan berkata, suspek dipercayai meminta mangsa membuka tudung dan memicit tangannya serta badannya sebelum mengarahkan wanita berkenaan menanggalkan pakaian.

Bagaimanapun, mangsa enggan dan menolak secara baik, namun ditampar oleh suspek di muka hingga terjatuh selain meminta mangsa melakukan seks oral.

Mangsa yang ketakutan tampil membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Pandamaran untuk tindakan lanjut.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/02/786035/pengarah-didakwa-cabul-kakitangan-bebas-dengan-jaminan-polis

COMMENTS

Wordpress (0)