Taliban mula dipandang positif banyak negara, kata Pas

PAS berpendapat Taliban kini mendapat imej yang positif atas imej yang “amat sederhana” ditonjolkan kumpulan tersebut sehingga reaksi yang baik dari negara lain.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata ketika ini pelajar-pelajar perempuan dilihat sudah memulakan sesi persekolahan kembali.

Taliban juga katanya turut menjemput negara-negara lain untuk membantu Kabul membangunkan semula Afghanistan yang selama ini terus dilanda krisis.

Taliban mula dipandang positif banyak negara, kata Pas

“Tindak tanduk Taliban itu berjaya memberikan imej positif kepada Taliban.

“Banyak negara juga mula memandang positif kepada Taliban walau masih terdapat banyak keraguan ke atas mereka.

“Namun dengan keadaan semasa di Afghanistan dan Kabul, Taliban dilihat telah mula berjaya mengurangkan persepsi negatif terhadapnya,” katanya dalam kenyataan yang dilaporkan harakahdaily hari ini.

Kumpulan Taliban menguasai Kabul sejak 16 Ogos lalu sekali gus menyempurnakan penguasaan mereka ke atas negara berkenaan selepas memulakan gerakan tersebut dari satu wilayah ke wilayah lain tanpa banyak tentangan beberapa bulan lalu.

Jamin hak wanita

Sejurus sebelum Taliban memasuki Kabul, Presiden Afghanistan Mohammad Ashraf Ghani Ahmadzai meninggalkan negara tersebut untuk ke lokasi yang sehingga kini belum disahkan.

Kemasukan Taliban juga menyaksikan sebahagian orang awam berpusu-pusu cuba meninggalkan Afghanistan termasuk dengan cara yang amat terdesak.

Ada antara mereka yang mengejar pesawat udara tentera AS dan sebahagian lain berpaut pada badan kapal terbang sehingga meragut nyawa.

Kata Khalil antara imej sederhana yang ditonjolkan Taliban ialah semasa sidang media pertama mereka dan pengampunan besar-besaran kepada anggota pentadbiran kerajaan terdahulu, selain jaminan hak kebebasan wanita dipelihara. Mereka juga dibenarkan bekerja.

Malah, katanya, tiada anggota kerajaan dibunuh ketika bandar-bandar di wilayah Afghanistan ditawan, manakala rakyat yang tidak menyokong mereka tidak ditangkap.

“Ini memperlihatkan banyak lagi petunjuk-petunjuk positif serta imej sederhana yang ditampilkan membuat ramai rakyat Afghanistan mula kembali menyokong mereka.

“Mungkin terdapat lagi rakyat Afghanistan yang skeptikal dan ragu-ragu kepada Taliban, namun sudah terdapat tanda positif bahawa Taliban mungkin mampu kembali mendapat sokongan majoriti rakyat jika keadaan berterusan seperti ini,” kata Khalil.

Bagaimanapun, untuk rekod laporan The Guardian mendakwa terdapat kanak-kanak dan wanita yang dipukul ketika mereka cuba melepasi pusat pemeriksaan Taliban.

Agensi berita antarabangsa pula melaporkan beberapa ketegangan berlaku di Jalalabad berhubung isu bendera rasmi Afghanistan.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/587979

BACA JUGA : Panas !!! Pas pertahan sokongan bersyarat PN