Takut terlepas suntikan vaksin, warga asing mula beratur sejak 3 pagi

Takut terlepas , warga asing yang hadir untuk mendapatkan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Keningau semalam sanggup berbaris seawal 3 pagi.

Keadaan itu juga menyebabkan PPV berkenaan sesak, dan mereka yang hadir terpaksa beratur sejauh hampir 1km.

Susulan itu, pihak keselamatan terpaksa menyuraikan warga asing yang masih beratur tanpa menghiraukan prosedur operasi standard (SOP), walaupun telah dimaklumkan mengenai slot yang tersedia.

Kesesakan yang berlaku di hadapan pintu masuk PPV terbabit berjaya dikawal sepenuhnya pada kira-kira 8 pagi.

takut

Seorang warga Indonesia yang ditemui berkata dia dan rakan-rakannya diarahkan oleh majikan untuk hadir tanpa mengetahui bilangan slot dan peraturan mengambil vaksin.

“Kami datang ke sini dari Sook pada 3 pagi, dihantar oleh majikan kami.

“Majikan suruh datang awal kerana terlampau ramai orang tetapi sekarang tidak dapat masuk kerana orang lain yang lambat sampai potong barisan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Kesihatan Keningau Dr Abdul Qayyum Jumidey, yang juga penyelia PPV berkata, kesesakan hampir serupa turut dialami PPV berkenaan minggu lepas dalam program sama.

Katanya, antara punca kesesakan adalah ada antara warga asing yang tidak tahu menggunakan aplikasi MySejahtera dan mereka hanya mengikut arahan majikan tanpa maklumat lengkap.

“Minggu lalu, kita mengalami insiden serupa dengan keadaan sesak di perkarangan dewan dan di luar pintu masuk.

“Bagaimanapun, kejadian itu berjaya ditangani pihak keselamatan dan kebanyakan yang hadir diminta pulang,” katanya.

Abdul Qayyum berkata, pihaknya sentiasa mengemaskini bilangan kuota vaksin secara “walk-in” berdasarkan kehadiran penerima vaksin warga tempatan dan maklumat yang diterima daripada majikan pekerja asing.

“Untuk kehadiran secara ‘walk- in’ yang ramai, kami sememangnya telah bersedia dengan bantuan kawalan dari pihak RELA dan polis,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai, termasuk warga asing, agar mendapatkan janji temu terlebih dahulu melalui kaunter yang disediakan di pintu masuk dan menerusi aplikasi MySejahtera.

Ini bagi mengurangkan kesesakan dan mengelak perlunya beratur panjang, katanya.

“Setiap hari kita tawarkan lebih kurang 2,500 slot untuk janji temu berbanding hanya 500 untuk ‘walk-in’,” katanya.

“Kita memang menggalakkan orang datang dengan janji temu jika mereka tidak mahu berebut-rebut berbaris pada 3 pagi, 5 pagi untuk mendapatkan slot ‘walk-in’.”

PPV Dewan Masyarakat Keningau beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 4 petang.

Daripada 500 slot ‘walk-in’ yang disediakan di PPV berkenaan, 250 diperuntukkan bagi warga asing.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/15/warga-asing-sanggup-berbaris-seawal-3-pagi-di-ppv-keningau/

Baca Juga : ‘King Maker’ dalam pembentukan kerajaan baru