Taktik BN guna isu agama, kaum tidak jejas sokongan pengundi kepada PH, kata Khalid

Taktik Barisan Nasional (BN) menggunakan isu kaum dan agama tidak menjejaskan sokongan pengundi kepada Pakatan Harapan (PH) di Cameron Highlands, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.

Beliau berkata ini adalah kerana kajian menunjukkan  undi Melayu dan Orang Asli untuk PH bertambah walaupun ramai pengundi bukan Melayu didapati tidak keluar mengundi khususnya di DUN Tanah Rata.

“Walaupun pengundi bukan Melayu kurang keluar mengundi semalam, sokongan terhadap PH kekal dan kemungkinan boleh menang. Kita dapati  peratusan undi masyarakat Melayu dan orang asli mula berubah ke arah PH,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran program [email protected] Jejak Sisiran di Presint 1 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemenangan BN  mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas calonnya, Ramli Md Nor diumum menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam.

Ramli meraih 12,038 undi untuk menewaskan calon PH Manogaran (8,800 undi), dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee yang memperoleh 276 undi.

Dalam pada itu, Khalid mengakui Cameron Highlands merupakan kubu kuat BN  dan kawasan itu tidak pernah dimenangi parti lain selain BN sejak kerusi itu ditandingi parti MIC.

Namun, beliau menyifatkan kemenangan semalam hanya sekadar mempertahankan sokongan masyarakat terhadap parti itu.

“BN cakap mereka mencapai kejayaan besar, tetapi bila saya kaji, keputusan ialah BN berjaya mempertahankan sokongan dan terpaksa menggunakan taktik berbeza untuk sekadar mengekalkan gabungan PAS dan UMNO.

“Sokongan itu dicampur dengan undi parti PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan gabungan undi BN-PAS pada PRU14, adalah  majoriti diperolehi pada PRK semalam,” katanya. Pada PRU14,  Datuk C Sivarraajh daripada BN  berdepan saingan lima penjuru, menang di kerusi itu selepas memperoleh 10,307 undi, manakala Manogaran meraih 9,710 undi. Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi, Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680 undi) dan calon Berjasa, Mohd Tahir Kassim, 81 undi.