Tak wajar kempen jangan derma kepada tabung bencana kerajaan – Rina

Tak wajar kempen jangan derma kepada tabung bencana kerajaan .Tidak wajar untuk mengajak orang ramai jangan menderma kepada tabung bencana kelolaan kerajaan menerusi kempen “Do Not Donate Here” ketika negara sedang dilanda bencana, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.

Rina berkata, mangsa bencana menjadi keutamaan ketika ini dan beliau memberi jaminan bahawa sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada kumpulan sasar, lapor Bernama.

“Apa yang kita laksanakan (tabung bencana), (sumbangan) yang kita dapat kita sumbang balik kepada rakyat,” katanya kepada media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) SK Kota Warisan di Sepang.

“Dalam keadaan sekarang tidak perlu ada ‘hashtag’ (tanda pagar) sebegitu. Sesiapa boleh membantu asalkan matlamat tercapai dan penerima bantuan dapat manfaat, itu yang penting.”

wajar

Mengenai perkembangan lain, Rina yang dikecam kerana dirakamkan memakai kasut bertumit tinggi ketika melawat PPS SJK(T) Saraswathy, Jalan Klang Lama, Ahad lepas berkata, penampilannya tidak sepatutnya menjadi isu.

Katanya, pada hari kejadian, beliau menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan ke-4 Bersatu di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dan bergegas keluar sejurus tamat ucapan Presiden Muhyiddin Yassin.

“Masa itu saya hanya sempat tukar baju kurung kepada seluar dan baju, saya tidak sempat tukar kasut dalam keadaan kelam-kabut.

“Apa yang penting keberadaan saya di tempat tersebut untuk melihat kebajikan mereka terjaga dan apa lagi keperluan yang boleh saya bantu,” katanya.

BACA JUGA:

NGO perlu salur sumbangan ikut saluran yang betul – MB Kelantan
Isu Pengerusi MKN Selangor, ini jawapan padu dari MB

Artikel ini disiarkan pada 24/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)