Tak solat Jumaat kerana patuh SOP tidak berdosa – Mufti Perlis

Tak solat Jumaat kerana patuh SOP tidak berdosa – Mufti Perlis

Individu yang gagal menunaikan solat Jumaat disebabkan mematuhi SOP Covid-19 tidak dikira berdosa dan ia termasuk dalam keuzuran yang dibenarkan syarak, kata Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata, situasi itu sama seperti tidak menunaikan solat Jumaat bagi mereka yang bermusafir dan seumpamanya.

Asri berkata, tidak ada asas untuk mewajibkan individu yang gagal menghadiri solat Jumaat tiga kali berturut-turut kerana mematuhi SOP untuk bertaubat dengan solat sunat taubat.

“Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui di mana tidak dapat menunaikan solat Jumaat kerana mematuhi SOP tidak dikira berdosa kerana ia termasuk dalam keuzuran yang dibenarkan syarak,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Asri berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mendapat banyak pertanyaan berhubung ucapan seorang pendakwah bebas yang membuat kenyataan mengenai solat Jumaat.

“Kenyataan itu ditambah dengan kenyataan ‘norma baharu yang merosakkan akidah’ dan setelah meneliti, jawatankuasa menghargai kesungguhan beliau dalam mengingatkan umat Islam berkenaan kewajipan solat Jumaat,” katanya.

Beliau berkata, perkataan wajib yang digunakan pendakwah berkenaan membawa maksud berdosa jika tidak melakukannya.

Katanya, ini membawa maksud pendakwah berkenaan menganggap berdosa kepada mereka yang terbabit tidak menunaikan solat sunat taubat.

“Sedangkan dalam konteks mentaati ulil amri dalam perkara makruf demi menjaga nyawa seperti SOP keselamatan atau kesihatan adalah wajib dan melanggarnya adalah berdosa.

“Perlu diketahui bahawa meninggalkan solat Jumaat disebabkan keuzuran bukan satu dosa dan dalam ungkapan beliau mengenai ‘norma baharu yang merosakkan akidah’ itu difahami norma baharu boleh membawa kepada kekufuran atau sekurang-kurangnya kesesatan dan hal ini sangat bahaya kerana norma baharu ini kebanyakannya membabitkan persoalan fekah atau hukum-hakam amalan,” katanya.

Beliau berkata, untuk mengaitkannya dengan akidah sehingga membawa kepada kerosakan, ia suatu hal yang perlu dibuktikan secara yakin bahawa kepercayaan agama yang termasuk dalam al-Quran dan as-Sunnah sudah rosak.

Katanya, dakwaan berkenaan mengelirukan dan boleh memberi kesan tidak baik sedangkan Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri sentiasa menjadikan al-Quran, as-Sunnah dan dalil muktabar sebagai panduan sebelum apa jua garis panduan dikeluarkan kepada masyarakat.

Bagaimanapun, Asri berkata adalah wajar pendakwah berkenaan memberikan nasihat dan teguran berhubung orang yang bersungguh mencuba mendaftarkan diri untuk hadir solat Jumaat dengan syarat diizinkan oleh pemerintah.

Terdahulu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebelum ini mengarahkan supaya masjid di negeri itu ditutup kepada orang awam mulai Khamis lalu sehingga ke satu tarikh akan dimaklumkan kelak.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/22/gagal-solat-jumaat-kerana-patuh-sop-tak-berdosa-kata-mufti-perlis/