“Tak sedar gosok gigi dengan pencuci muka”, penulis kongsi pengalaman ‘Long Covid’

“Tak sedar gosok gigi dengan pencuci muka”, penulis kongsi pengalaman ‘Long Covid’.Pada satu hari selepas sebulan disahkan pulih dari Covid-19, pemuzik dan penulis Wani Ardy tidak sedar yang dia sedang menggosok gigi dengan menggunakan pencuci muka.

“Saya sama sekali tak sedar, saya ambil pencuci muka, tengok, letakkannya di berus gigi, tapi minda saya tak mengecamnya sebagai pencuci muka.

“Semasa saya gosok gigi, saya tak dapat rasakan apa-apa. Ia mula berbuih. Saya tertanya-tanya mengapa ubat gigi ini ada lebih banyak buih daripada sebelum ni, kemudian saya sedar saya gosok gigi dengan pencuci muka,” katanya.

Kemerosotan daya ingatannya tidak terhenti di situ. Pada satu hari yang lain, Wani tidak tahu mengapa dia parkir kereta di sebuah kedai.

“Saya sepatutnya pergi ke kedai tu untuk dapatkan kotak besar bagi aiskrim saya. Ketika, saya parkir kereta di depan kedai itu, saya betul-betul tak ingat mengapa saya berada di situ,” katanya.

Wani berkata apa yang dialaminya tidak pernah terjadi sebelum dia dijangkiti Covid-19.

Sekarang, kadang-kadang dia terlupa apa yang sedang dilakukannya tetapi akan mengingatinya semula kemudian.

Penulis ini mungkin mengalami kabut otak (brain frog), satu keadaan di mana individu mengalami disorientasi dan merupakan gejala simptom pasca Covid-19, atau lebih dikenali sebagai Long Covid.

gosok gigi

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, sebilangan kecil pesakit yang pulih dari Covid-19 masih boleh menunjukkan gejala seperti keletihan, kesukaran bernafas ketika menjalankan aktiviti, gangguan tidur, batuk dan kegelisahan selama 12 minggu atau lebih setelah sembuh.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat juga menyenaraikan kabut otak antara gejala Long Covid.

“Tidak seperti beberapa jenis keadaan pasca-Covid-19 lain yang hanya cenderung terjadi pada orang yang menderita jangkitan parah, gejala ini boleh terjadi kepada sesiapa saja yang dijangkiti Covid-19, walaupun ringan, atau tidak mempunyai gejala, “katanya.

Hilang pendapatan

Bagi Wani, keadaan ini menyebabkan dia perlu belajar semula rutin asas kehidupan sehari-hari – sama seperti watak utama dalam ’50 First Dates’, yang ingatan jangka pendeknya hilang setiap hari.

“Pada satu hari, selama 15 minit saya bersusah payah menghidupkan enjin kereta kerana saya gunakan kunci rumah.

“Saya terpaksa duduk dan menarik nafas panjang, (kerana saya) fikir ada sesuatu yang tidak kena. Hanya selepas 15 minit, saya sedar yang saya gunakan kunci rumah,” katanya.

Keadaan ini bermaksud penulis bebas berkenaan tidak dapat bekerja dan hilang pendapatan.

“Saya tidak boleh menulis lagi. Saya hilang kerja sebagai penulis kerana tak dapat duduk depan komputer riba dan fokus kepada tulisan saya,” kata Wani, yang menerima dos vaksin Covid-19 pertama pada 5 Jun.

Untuk memenuhi keperluan harian, Wani menjual aiskrim daripada seorang pembekal.

Katanya, ia tidak dibayar sebanyak seperti seorang penulis, tetapi cukup buat masa ini.

“Saya fikir saya harus melakukan sesuatu yang membuat saya bergerak berbanding duduk depan komputer riba dan itu mungkin akan membantu.”

Selain kabut otak, Wani mengalami pening, tidak dapat tidur, berdengung di telinga, kehilangan deria rasa dan bau, serta sesak dada sejak dia dikatakan pulih dari Covid-19.

“Sudah tentu saya menjangkakan gejala Long Covid seperti sakit dada dan sukar bernafas, batuk dan sebagainya.

“Saya tidak hadapi masalah dengan gejala tersebut kerana semuanya boleh disembuhkan. Perkara yang saya tidak terfikirkan atau perlu belajar adalah kabut otak,” jelasnya.

Menghidap sindrom Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser (MRKH), Wani hanya memiliki kemampuan pendengaran separa.

Ini bermakna dia perlu bergantung kepada deria lain, namun sukar pada waktu ini kerana dia tidak mempunyai kemampuan untuk merasa atau hilang deria bau.

“Saya fikir tidak dapat merasa dan hilang deria bau sama seperti selesema, tapi tidak seperti itu. Ia lebih daripada itu.

“Ia sesuatu yang tidak pernah saya alami sebelum ini. Ini membuat kamu sedar mengenai perkara-perkara kecil yang dianggap remeh,” katanya.

Sejak keluar dari hospital, Wani juga perlu bergantung kepada alat sedutan (inhaler) setiap hari untuk membantu pernafasan.

Doktor mengatakan ia memerlukan masa enam bulan lagi agar keadaan kembali normal.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/586581

BACA: Gempar !!! Ahmad Maslan dedah strategi Zahid