Setiap kali bajet negara dibentang aku hanya jadi tukang dengar sahaja. Dengan segala macam tawaran indah-indah oleh kerajaan. Dari berbagai tawaran, insentif, bantuan, elaun dan sebagainya diberikan itu, satu pun tidak terkena atau masuk dalam poketku.
Hari ini Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz ketika membentangkan bajet 2022 menawar pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat. Rasanya semua kumpulan dan golongan ada terkena (menerima manfaat) daripada bajet tertinggi dalam sejarah itu bernilai RM332.1 billion.
Kalau kita tertimbus dengan wang itu kita tidak akan bangun-bangun lagi dan terus akan mati. Atau kalau hidup pun macam pemuda Ashabul Qhafi.
Kenapa aku kata bajet tidak terkena kepada aku. Kerana aku bukan penganggur, aku walaupun B10 tidak pernah mendapat apa-apa pemberian kerajaan, walaupun cukai diturunkan, ia tidak terkena kepada aku kerana aku tidak ada apa yang hendak dicukaikan.
Diskaun PTPTN diberikan, ia juga tidak terkena kerana aku bukan siswa. Road tax kereta dikurangkan, aku pula bukan OKU. Bantuan untuk ibu tunggal dinaikkan, ia juga tidak terkena kerana aku bukan janda berhias beranak lima atau bapak tunggal.
Untuk dapat gajet atau Ipad, aku bukan bakal siswa yang akan mendaftar diri masuk ke IPTA. Nelayan dan petani juga diberi bantuan tambahan RM50, ia juga terlepas kerana aku bukan nelayan dan petani, cuma kalau ada pun kawan yang pernah jadi menteri pertanian.
Aku terus mencari dan membelek, daripada peruntukan sebanyak itu apakah yang langsung akan dapat kepadaku. Tidak ada. Namun aku tidak pernah bersedih serta berduka lara.
Cuma aku berharap biarlah apa dijanjikan itu ditunaikan jangan ia hanya retorik dan lagu-lagu merdu untuk menghibur rakyat yang sengsara semata-mata. Trims.
Sumber :