Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bercadang untuk menubuhkan pasukan ‘polis pelancong’ sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 bagi meningkatkan kawalan keselamatan kepada pelancong yang datang ke negara ini.
Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat untuk membincangkan cadangan itu.
“Saya akan berunding dengan KDN tentang peranan dan (siapa yang akan menyertai) pasukan polis pelancong,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Temasya “Oghang” Kedah, yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di sini, hari ini.
Beliau berkata anggota pasukan berkenaan akan diletakkan di setiap negeri terutama di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pelancong seperti di bandaraya besar.
Dalam pada itu beliau menafikan dakwaan bahawa Malaysia adalah antara negara paling teruk di Asia untuk pengembara solo wanita seperti yang didakwa kajian blog pengembaraan bebas berpangkalan di Australia, Asher & Lyric.
Mohamaddin berkata setakat ini pihaknya tidak pernah menerima sebarang rungutan atau laporan rasmi berhubung perkara itu.
“Negara kita boleh dikatakan antara yang paling selamat untuk dilawati… Sebetulnya saya tidak ada terima aduan bahawa pelancong wanita solo yang datang ke negara ini sentiasa dilanda masalah,” katanya.
Beliau berkata kajian itu juga disifatkannya sebagai sengaja dibuat untuk memburukkan negara terutama menjelang TMM tahun depan.
Sementara itu, Mukhriz berkata seni dan budaya adalah antara elemen yang boleh dijadikan daya tarikan bagi sektor pelancongan yang sekaligus akan meningkatkan pendapatan rakyat dan negeri.
Beliau berkata pelancong pada masa ini lebih cenderung untuk merasai pengalaman yang asli seperti seni dan budaya masyarakat setempat di destinasi yang mereka lawati.
“Ia termasuk persembahan, cara hidup, budaya, makan dan minum, warisan budaya, seni bina, barangan perusahaan dan kraftangan, ciri-ciri layan tamu dan segala unsur yang mencirikan cara hidup masyarakat di sesebuah destinasi itu,” katanya.
BERNAMA