Program “Bagaimana Merangsang Perkembangan Anak Berumur 3 Hingga 6 Tahun” program anjuran Suri Rumah Rahmah (SRR) Melaka telah berjaya dilaksanakan pada 15 Januari lalu, di Rumah Ngaji Peringgit, di sini.
Program ini merupakan program pertama di bawah siri Suri Pendidik dalam memperkasakan ibu daripada kalangan suri rumah sebagai pendidik utama anak-anak.
“Anak adalah amanah besar daripada Allah. Mempelajari tentang perkembangan anak-anak adalah sangat mengujakan kerana kita sentiasa menambah pengetahuan tentang perkara baru,” ujar Pengerusi Majlis yang juga Pengarah Program, Nurul Atiqah Hassan dalam ucapannya.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran 29 orang peserta dari seluruh Melaka, yang hadir dengan matlamat yang sama iaitu ingin menambahbaik skil keibubapaan dan mengetahui cara merangsang perkembangan anak-anak sekitar umur 3 hingga 6 tahun.
“Program ini dirancang berpandukan Modul Pembangunan Keluarga, satu daripada empat modul yang terkandung dalam Modul Pembangunan Suri,” jelas Pengerusi Suri Rumah Rahmah Melaka, Nisha Fatihah Islam.
Bagi memastikan para peserta fokus dengan penyampaian, khidmat nurseri turut diadakan malah ada daripada kalangan peserta yang membawa pengasuh sendiri.
Penyampai untuk program ini, Siti ‘Aisyah Rozalli, seorang Ahli Terapi Cara Kerja yang juga merupakan pengasas bersama GymCademy Melaka memperkenalkan akronim SMCS (Sensory, Motor, Cognitive, Social) sebagai elemen-elemen penting dalam perkembangan anak.
“Ibu-ibu perlu tahu tentang milestone mengikut umur anak bagi memastikan anak tidak lewat dalam perkembangannya. Terlalu banyak tips dan ilmu keibubapaan di luar sana, tetapi yang paling penting adalah untuk memahami dan mengaplikasikan tips yang paling sesuai dengan anak dan keluarga kita,” ujar Siti ‘Aisyah.
Tambahnya lagi, ibu bapa perlu melakukan aktiviti rangsangan dengan ilmu kerana keputusan proses perkembangan anak terletak di tangan kita sebagai ibu bapa, juga perkara yang kita beri semasa anak kecil akan meninggalkan kesan apabila anak besar kelak.
Beberapa aktiviti turut diadakan sebagai praktikal untuk para suri mengaplikasikan aktiviti tersebut bersama anak-anak di rumah, antaranya Theraputty, Bermain Belon dan The Beam.
Beliau berharap agar selepas tamat program ini, para suri dapat menilai tahap perkembangan anak mengikut borang penilaian yang telah diedarkan.
Siti ‘Aisyah turut menyarankan ibu bapa yang memerlukan terapi untuk mendapatkannya daripada ahli terapi yang diiktiraf atau bagi mereka yang mempunyai kekangan masa dan wang, digesa mencari ilmu supaya boleh melakukan aktiviti rangsangan di rumah.
“Pelbagai contoh aktiviti untuk rangsangan anak-anak boleh didapati di dalam buku dan internet. Anda boleh cari dan simpan, tetapi yang lebih penting, buat,” ujarnya
Siti ‘Aisyah juga turut mengingatkan para peserta agar tidak terlalu menghiraukan tekanan sosial kerana ibu bapa lebih mengenali anak masing-masing.
Program yang berjalan selama hampir tiga jam termasuk sesi soal jawab ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Pengerusi Suri Rumah Rahmah Melaka dan sesi bergambar.
“Saya belajar untuk kenalpasti bila anak sudah bersedia untuk sesuatu pembelajaran, tidak boleh terlalu mendesak untuk anak berada sama tahap dengan perkembangan kanak-kanak sebaya yang lain dan perlu tahu perkembangan tersendiri anak,” kata Aishah Abdul Rashid, yang merupakan salah seorang peserta terlibat.
Walaupun anak baru mencecah umur setahun, beliau tetap berminat untuk menghadiri program ini demi persediaan masa hadapan.
Bagi Anisha Khairul Sham pula, beliau akan cuba mempraktikkan masa berkualiti untuk setiap anak selama 15 minit sehari mengikut saranan Siti ‘Aisyah.
“Sambil beraktiviti dengan anak-anak, ibu perlu perhati tahap anxiety anak-anak kerana terlalu banyak atau sedikit input boleh membuatkan anak resah. Ini yang saya belajar daripada program ini,” katanya.
Majoriti peserta sangat gembira dan teruja dengan program ini.
“Saya berpendapat aktiviti dan perbincangan sebegini perlu diadakan dengan lebih kerap sebagai persediaan ibu bapa menghadapi cabaran yang mendatang.” demikian ujar Razulia Razali juga turut melibatkan diri dalam program yang julung kali diadakan ini.
Suri Rumah Rahmah (SRR) adalah sebuah agensi di bawah Wanita IKRAM dan mempunyai beberapa cawangan di seluruh Malaysia termasuk Shah Alam, Bangi, Melaka, Nilai dan Manjung.